Artikel

Jangan ganggu merpati

- Diterbit 28 Oktober 2024 7:40 PM MYT

JINAK merpati makan di tangan‚ jangan dikurung di sangkar hati.” Ini lirik lagu Umpan Jinak Di Air Tenang yang merupakan antara puluhan lagu popular nyanyian penyanyi terkenal‚ Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

Memang merpati jinak‚ boleh didekat tetapi jika mahu ditangkap ia lari. Haiwan ini banyak kelihatan berkerumun di beberapa lokasi tertentu di ibu kota Kuala Lumpur‚ juga di pusat pentadbiran negara‚ Putrajaya. Tetapi cuba dekati‚ pasti ia terbang pergi.

Kenapa merpati suka berkerumun di tempat seperti Jalan Masjid India‚ Kuala Lumpur dan di Putrajaya? Sebabnya orang ramai suka memberi makan. Lokasi-lokasi tertentu sudah menjadi medan merpati bersantai cari makan kerana tahu memang orang ramai sering menabur makanan.

Kepada mereka yang baik hati memberi makan merpati‚ kawan-kawan Kedai Kopi ingin ingatkan agar tidak lagi berbuat demikian di Putrajaya. Perbadanan Putrajaya (PPj) akan bertindak tegas terhadap sesiapa yang didapati memberi makan kepada merpati di seluruh kawasan pentadbiran PPj.

Larangan ini dibuat demi menjaga kebersihan persekitaran dan mengelakkan gangguan terhadap burung tersebut. Memetik Presiden PPj‚ Datuk Fadlun Mak Ujud‚ terdapat peningkatan aduan gangguan terhadap burung merpati‚ di samping kawasan merpati makan jadi kotor.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas