JUARA program nyanyian One In A Milion (OIAM) musim kedua, Ayu Damit berharap agar para peserta musim baharu ini tonjolkan bakat sendiri dan elak meniru gaya atau suara penyanyi sedia ada.
Menurut pelantun lagu Hanya Di Mercu ini juga , selain bakat para peserta OIAM perlu mempunyai kelebihan lain bagi melengkapkan diri sebagai penyanyi dan tidak bergantung kepada vokal semata-mata.
“Apabila jadi penyanyi ni, bagi saya bakat paling penting kerana melalui anugerah itulah kita mula dikenali dan berjaya mencapai impian yang dikejar.
“Pertama Be yourself, jangan cuba jadi orang lain. Orang nak tengok originality atau keaslian suara atau bakat kita.
“Tak salah jadikan mana-mana penyanyi lain sebagai inspirasi atau motivasi, ikut contoh mereka dan melihat bagaimana dia membina kerjaya.
“Tapi itu tak bererti kita kena tiru dia. Bawa identiti suara sendiri. Iyalah, setiap orang ada kelebihan masing-masing,” katanya kepada Wilayahku.
Ayu dihubungi selepas membuat persembahan dalam rancangan Calpis Soda One In A Million (CSOIAM).
Ayu mempersembahkan lagu yang membuka pintu rezeki kepadanya dalam bidang seni suara iaitu Hanya Di Mercu sebaik diumumkan sebagai juara One In A Million musim kedua.
Ayu juga menasihatkan agar peserta OIAM musim baharu ini, jangan mudah berpuas hati dengan apa yang dispersembahkan.
“Cepat puas hati, rasa dah bagus, itulah yang sebenarnya menjadi punca kita boleh jatuh dan tak boleh pergi jauh dalam industri.
” Practice makes perfect, ini paling penting. Jangan rasa cukup dengan bakat semata-mata. Latihan penting supaya boleh beri persembahan terbaik.
“Dalam masa yang sama, nak kekal jadi penyanyi, mental harus kuat. Dalam dunia seni yang penuh cabaran ini, kena kuat semangat dan sentiasa fikir positif.
“Saya tahu, bukan mudah untuk kita kuat atau fikir positif setiap masa, kita kan manusia biasa, namun kenalah berusaha ke arah itu.
“Kalau kena kritik atau dikutuk netizen terus rasa lemah dan putus asa, macam mana nak hadap cabaran yang lebih besar?” ujarnya.
Sempena tahun baharu 2025 yang bakal disambut tidak lama lagi, Ayu akui 2024 menjadikannya lebih matang.
“Sepanjang tahun 2024, saya agak sibuk sehingga sukar nak urus masa dan tenaga. Bila sibuk, ada hari yang rasa macam tak cukup masa untuk diri sendiri, tapi itulah lumrah hidup
“Menyentuh tentang kenangan manis, terlalu banyak. Antaranya dapat capai target kesihatan, kerjaya semakin berkembang dan lebih banyak peluang dan ruang tahun ini.
“Semoga tahun 2025 pun menjadi satu pembukaan yang baik buat saya,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU