Selebriti

“Jangan bandingkan vokal saya dengan arwah Achik” – Tajul Arif

|MALAM Semakin Dingin dinyanyikan semula oleh Tajul Arif dan Afieq Shazwan|LAGU Malam Semakin Dingin semakin menjadi siulan ramai
- Diterbit 4 Oktober 2021 3:09 AM MYT

TERUBAT rindu peminat terhadap vokalis Spin, Allahyarham Achik apabila adik arwah, Tajul Arif dan sahabatnya Afieq Shazwan menyanyikan semula lagu dendangan Achik berjudul Malam Semakin Dingin.

Lagu ciptaan Aiman dan Lukhman S yang diberikan nafas baru ini tentunya akan mengimbau kembali kenangan dan kerinduan pada Achik dan kumpulan Spin.

“Sejujurnya agak nervous juga apabila Syarikat rakaman saya, FMC panggil untuk bincangkan tentang lagu ini. Namun apabila diberitahu akan berduet dengan Afieq Syazwan, saya berasa lega dan bersetuju.

“Cuma jangan bandingkan vokal saya dengan arwah Achik, walaupun kami adik-beradik tentunya cara nyanyian dan kemampuan vokal kami berbeza. Apa-apa pun saya memang sangat mengagumi vokal abang saya, Achik.

MALAM Semakin Dingin dinyanyikan semula oleh Tajul Arif dan Afieq Shazwan

Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md. Shari, 23, mengaku lagu Malam Semakin Dingin ini agak mencabar dirinya semasa proses rakaman.

“Lagu ni memang dah selalu saya nyanyikan ketika karaoke. Saya akui memang mencabar juga untuk nyanyikan lagu ini sebab agak tinggi juga.

“Namun, saya bersyukur kerana dapat berduet dengan Afieq yang sangat membantu dan memudahkan proses rakaman. Kami tak ambil masa yang lama untuk siapkan lagu ini.

“Sewaktu merakamkan lagu ini, jujur saya cakap ada timbul rasa sebak dalam hati dan rindu pada Achik walaupun sewaktu hayat arwah, kami tidak terlalu rapat kerana jarang berjumpa. Ketika itu, Achik sibuk dengan kerjaya seninya.

“Apa-apa pun saya bersyukur dan gembira kerana dapat nyanyikan semula lagu abang saya. Ini juga satu penghargaan buat saya apabila diberikan peluang ini,” jelasnya lagi.

LAGU Malam Semakin Dingin semakin menjadi siulan ramai

Manakala Afieq Shazwan pun mengaku teruja diberikan penghormatan menyanyikan semula lagu Achik yang sememangnya mempunyai ramai peminat sehingga ke hari ini.

“Pada awalnya saya hanya nyanyi semula lagu ini dan muat naik di aplikasi TikTok dan facebook.

“Alhamdulillah tontonan until video tersebut sangat memberangsangkan. Ramai minta saya buat full version.

“Apabila saya diberi peluang untuk duet lagu ni bersama Tajul terus saya cakap yes! Sebab tajul ialah adik Achik dan kami anggap ini adalah Tribute untuk Allahyarham Achik,” ujarnya.

Afieq juga berasa puas apabila impiannya untuk menyanyikan lagu 90-an menjadi kenyataan.

“Saya suka sebenarnya lagu macam ni, inilah diri saya . Sebelum ini dalam pertandingan dan program realiti yang disertai, saya tak berpeluang nyanyikan lagu – lagu yang sebegini.

“Saya sangat berpuas hati sebab dapat meluahkan dan menyanyi dalam feel 90-an. Sewaktu rakaman saya juga menyampaikannya lagu ini dengan gaya atau lenggok nyanyian 90-an.

“Bukan tercedok cara Achik menyanyi, tetapi saya menghormati lenggok dan cengkok Melayu yang dinyanyikan penyanyi asal.

“Kalau kita dengar lagu – lagu era 90-an cara nyanyian mereka memang berbeza dengan penyanyi masa kini.

“Saya berharap agar semua pendengar dapat terima lagu Malam Semakin Dingin dalam nafas baru versi 2021 ni. Saya dan Tajul sudah melakukan yang terbaik,” katanya.

Malam Semakin Dingin telah dilancarkan di youtube FMC Music sejak 15 September lalu.

Dalam masa yang sama, peminat boleh boleh dengar di semua platform digital seperti Joox, Spotify dan lain-lain lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas