Oleh DEEL ANJER
PENGACARA popular Uyaina Arshad menempelak tuduhan melulu seorang netizen Indonesia yang sewenang-wenangnya mendakwa kemerdekaan Malaysia diraih hasil ‘pemberian’ mudah penjajah iaitu British.
Menerusi hantaran yang dimuat naik Uyaina dalam Instagram miliknya, personaliti berusia 30 tahun itu berkongsi mengenai kemerdekaan yang dituntut penduduk Palestin terhadap penjajahan Israel.
“Malaysia merdeka kerana pemberian, bukan kerana perang melawan Inggeris (British). Perdamaian diperlukan untuk Hamas vs Israel,” tulis netizen tersebut.
“Saya rasa, saya lebih tahu sejarah negara saya. Sebelum ‘diberi’ kemerdekaan Tanah Melayu, berapa banyak darah orang yang memberontak menentang penjajah telah gugur?
“Yang kamu lihat cuma ‘pemberian’ menerusi diplomasi? Memang itu yang membezakan cara Malaysia dan Indonesia mendapatkan kemerdekaan negara masing-masing. Tapi, darah perajurit tanah airku yang pernah gugur jangan kau diamkan.
“Jangan ajar tentang sejarah negaraku sebagaimana aku tidak pernah mengajar kamu tentang sejarah negaramu,” balas Uyaina.
Terdahulu, dalam hantaran yang dikongsikan, pengacara Wanita Hari Ini itu mendesak golongan yang masih menyokong tindakan kejam Israel terhadap Palestin agar melihat kembali jenayah yang dilakukan oleh rejim Zionis itu.
Dalam masa yang sama, Uyaina juga berharap masyarakat Malaysia mendalami sejarah kerana dari situlah pengorbanan pejuang terdahulu sehingga kita dapat mengecapi keamanan hari ini. – WILAYAHKU