ISTERI Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail (lima kanan) melancarkan hibrid orkid baharu yang dinamakan bersempena namanya di Festival Orkid Putrajaya 2023.
INDUSTRI florikultur (bunga-bungaan) terutamanya bunga orkid menjadi salah satu penyumbang kepada nilai eksport negara. Mengikut rekod, nilai eksport industri bunga-bungaan ini berjumlah RM2.37 bilion bagi tempoh tiga tahun iaitu dari 2017 hingga 2021.
Terbaharu, Malaysia menerokai pasaran baharu eksport industri tersebut ke Asia Barat iaitu Dubai bagi melonjakkan semula sektor ekonomi yang merundum ketika tempoh pandemik COVID-19.
Menurut Presiden Persatuan Anggerik Selangor dan Wilayah Persekutuan, Vincent, industri bunga-bungaan khususnya anggerik atau lebih dikenali sebagai orkid mempunyai pasaran yang luas.
“Pasaran orkid kita sebenarnya agak luas antaranya adalah di Asia, Eropah, Amerika, Australia dan juga timur tengah. Malaysia merupakan negara pengeksport kesembilan dunia menerusi industri florikultur.
“Ia merangkumi jualan orkid dalam flask (plantlet), anak pokok (seedling), pokok sederhana (near-blooming size), pokok dewasa (blooming size), bunga potong, bunga sekuntum dan bunga orkid yang di epoxy,” jelasnya yang turut terlibat dalam Festival Orkid Putrajaya 2023 yang diadakan di Taman Botani, Putrajaya pada 14 sehingga 25 Disember lalu.
Vincent berkata persatuannya terlibat 100 peratus bagi penganjuran di mana seramai 27 peserta yang merupakan ahli di bawah Persatuan Orkid Malaysia telah menyertai Pertandingan Orkid yang diadakan pada festival tersebut.
“Pertandingan orkid ini melibatkan 12 kategori dengan 60 kelas tanaman orkid yang dipertandingkan,” ujarnya sebanyak 620 pokok berdaftar dalam pertandingan tersebut.
Bertanggungjawab sebagai ketua juri bagi pertandingan tersebut, Vincent berkata beberapa kriteria utama diambil kira dalam pemilihan para pemenang.
“Antara kriteria penghakiman adalah panjang semburan bunga, saiz bunga, bilangan bunga dan warna. Sebagai contoh, jika bahagian kuning, kuning terang akan menang berbanding kuning kusam atau kuning kotor.
“Selain itu, bentuk bunga hendaklah sekata dan bulat, manakala dari segi gubahan bunga pula gubahan yang baik dan sekata lebih diutamakan,” jelasnya kesihatan pokok turut diambil kira.
Berkongsi mengenai perancangan seterusnya, Vincent berkata pihaknya akan mengadakan program berkaitan orkid pada Mac 2024 dengan kerjasama Persatuan Orkid Taiping. – WILAYAHKU