Selebriti

Jamin masa depan

- Diterbit 29 Julai 2024 5:33 PM MYT

TAHUN ini genap 11 tahun penyanyi Syafiq Farhain bergelar pegawai bomba. Namun dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan kerjaya tersebut bagi memberi fokus kepada bidang nyanyian sepenuh masa.

Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A.M Salim yang sedang popular dengan lagu Sepi ini turut mengakui kerjaya tetap adalah jaminan masa hadapannya.

“Sekarang, saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, jaminan sebegini amat penting buat saya dan mereka.

“Namun, bukanlah jaminan itu semata-mata yang saya fikir. Apa yang lebih penting saya minat bekerja sebagai pegawai bomba. Kalau tak ada minat susah juga. Dua-dua perlu seiring,” katanya.

Sebelum ini Syafiq mengakui, pekerjaan sebagai bomba banyak membantunya ketika seluruh dunia diserang wabak COVID-19. Saat itu, dia tidak dapat menjayakan sebarang persembahan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Rasanya semua orang perlu fikir macam mana atau apa yang perlu dilakukan sebagai persediaan berhadapan risiko.

“Saya yakin masyarakat di luar sana ada cara tersendiri. Apa pun yang dibuat, ia penting untuk persediaan diri sendiri serta keluarga tersayang,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas