Berita

Jambatan Labuan-Menumbok: JWP akan mulakan kajian studi

Foto: SHUAIB AYOB / WILAYAHKU
- Diterbit 11 November 2024 4:40 PM MYT

JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) telah memperoleh komitmen daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Belanjawan 2025 untuk memulakan kajian studi terhadap pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, peruntukan RM550,000 diberikan kepada jabatan itu untuk kajian berkenaan bagi memastikan projek tersebut dapat diteruskan.

“Apapun (buat masa ini) isunya adalah usaha-usaha lain iaitu bagaimana kita meningkatkan jaringan laut dan udara.

“Saya difahamkan AirAsia meningkatkan jumlah penerbangan ke Labuan kepada tiga hari seminggu. Itu satu perkembangan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menggulung perbahasan Sidang Belia Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Zaliha berkata, pihaknya akan berbincang dengan KKR bagi merealisasikan kajian berkenaan.

Ditanya bila bajet tersebut akan diperoleh JWP untuk menjalankan kajian studi, katanya, ia berkemungkinan awal tahun depan.

Pada Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan sokongan terhadap cadangan pembinaan jambatan bagi menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah yang sudah lama tertangguh sementara menunggu laporan komprehensif mengenai implikasinya.

Menurut beliau, pembinaan jambatan itu adalah sebuah projek mega yang memerlukan persiapan rapi.

Terdahulu Zaliha dalam ucapan penggulungannya berkata, rancangan Struktur Labuan 2040 yang dilancarkan pada Januari lalu, menjadi panduan utama dalam merangka dasar pembangunan fizikal, ekonomi, alam sekitar dan sosial di Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya, dokumen itu telah menetapkan visi pembangunan Labuan menjelang 2040, dengan penekanan kepada pembangunan mampan dan berdaya saing.

“Menyedari infrastruktur digital memerlukan bekalan elektrik yang stabil, JWP telah menubuhkan pasukan khas bagi mengatasi isu asas seperti bekalan elektrik, air dan meningkatkan capaian internet.

“Bagi memastikan keterjaminan bekalan air berterusan tanpa gangguan demi kesejahteraan penduduk Labuan, Bahagian Bekalan Air Labuan telah dan akan melaksanakan lima program penyelesaian jangka pendek. Surat Setuju Terima telah dikemukakan bagi program ini pada April 2024 dan dijangka mengambil masa tujuh hingga 12 bulan untuk diselesaikan. Jumlah kos keseluruhan yang diperuntukkan adalah sebanyak RM27.5 juta,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas