JIKA perancangan menjadi‚ Labuan bakal dihubungkan dengan tanah besar Sabah melalui jalan darat dengan pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok. Pada masa ini hubungan di antara kedua-duanya menggunakan perkhidmatan feri dua kali sehari‚ memakan masa satu jam perjalanan.
Bagi kawan-kawan Kedai Kopi‚ ini merupakan langkah positif mengeratkan hubungan Labuan dan Sabah. Pada masa sama ia memudahkan pergerakan dan perjalanan juga jadi lebih cepat.
Apabila menjadi kenyataan‚ Labuan yang asalnya sebahagian negeri Sabah dan menjadi Wilayah Persekutuan pada 1984‚ akan mirip Pulau Pinang yang dihubungkan dengan tanah besar melalui pembinaan jambatan pertama yang dibuka pada 1985 dan jambatan kedua pada Mac 2014.
Difahamkan kajian teknikal pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok akan dimulakan tahun hadapan. Ia diterajui oleh Pasukan Khas Jambatan Labuan-Sabah‚ di bawah seliaan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
Difahamkan JWP telah memperoleh peruntukan RM500‚000 bagi melaksanakan kajian teknikal awal. JWP akan memantau perkembangan dengan teliti walaupun pelaksanaannya nanti akan diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR).