AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Yang Berhormat (YB) Jamaliah Jamaluddin opitmis dalam usaha untuk membina komuniti setempat yang baik serta memastikan kesejahteraan hidup rakyat terjaga.
Beliau yakin dengan perancangan serta inisiatif yang disusun rapi bersama pasukannya selain yakin usaha tersebut dapat direalisasikan.
Dalam masa yang sama, beliau juga turut fokus untuk membangunkan anak muda serta memperkasakan golongan wanita bagi menyertai politik.
Walau banyak cabaran yang perlu diatasi namun perkara tersebut tidak langsung mematahkan semangatnya untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik.
Ikuti wawancara eksklusif YB Jamaliah Jamaluddin bersama wartawan Wilayahku, Syed Hazique Syed Nor berkongsi cabaran yang dilalui dalam memberikan kehidupan berkualiti kepada penduduk Bandar Utama.
Apakah kejayaan yang telah dicapai YB sepanjang menyandang kerusi DUN Bandar Utama?
Sejak dipilih sebagai wakil rakyat, saya bahagikan kepada dua objektif, satu objektif persendirian satu lagi objektif kawasan DUN di sini.
Daripada segi kawasan, boleh dikatakan banyak yang telah dirangka dan membuahkan hasil seperti kemudahaan fasiliti, komuniti penduduk yang aktif bekerjasama, projek penambahbaikan dan sebagainya.
Malah sejak tahun 2018, kita telah melancarkan inisiatif geran komuniti dengan tema-tema tertentu seperti keselamatan, kebun komuniti, teknologi hijau dan banyak lagi. Tujuannya untuk menggalakkan setiap persatuan penduduk dan rukun tetangga aktif dalam menjalankan projek komuniti.
Di kawasan DUN Bandar Utama ini terdapat hampir 70 buah persatuan penduduk, rukun tetangga, badan pengurusan bersama, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung serta badan bukan kerajaan (NGO) termasuk rumah agama dan sebagainya.
Malah saya bersama pasukan juga melakukan banyak inisiatif untuk pelbagai lapisan masyarakat seperti warga emas, anak muda dan wanita untuk mempertingkatkan kemahiran mereka.
Bercakap tentang kesejahteraan, kerjasama yang baik bersama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan juga adalah penting untuk membantu menyelesaikan masalah. Sebagai contoh sebelum ini, banjir kerap berlaku di Kampung Chempaka dan kita bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melalui projek tebatan banjir di Sungai Kayu Ara (bahagian Kampung Chempaka).
Dari segi matlamat peribadi, saya memfokuskan kepada usaha untuk memperkasa bakat kepimpinan anak muda dan wanita dalam kalangan masyarakat.
Melalui inisiatif di pejabat, sehingga kini seramai lebih 50 pelatih telah menyertai pasukan saya untuk mengetahui dan memahami apakah tanggungjawab serta tugas-tugas yang dijalankan oleh wakil rakyat melalui pusat khidmat masyarakat.
Apakah cabaran-cabaran yang dihadapi oleh YB?
Di Bandar Utama, terdapat kira-kira 80,000 pengundi dengan mengambil kira dalam lebih 100,000 penduduk di kawasan ini.
Semestinya banyak cabaran yang saya serta pasukan terpaksa hadapi dalam membina masyarakat yang sejahtera di samping untuk menyediakan kehidupan berkualiti buat mereka. Antara cabaran utama ialah memastikan segala permasalahan penduduk didengari dan dapat diatasi.
Oleh yang demikian, komunikasi yang berkesan adalah antara keutamaan di pejabat. Saya mengalu-alukan kedatangan penduduk untuk merujuk isu-isu di kawasan serta program-program yang dijalankan selain mengambil perhatian melalui e-mel.
Kita perlu pastikan masalah penduduk didengari selain bekerjasama dengan pihak-pihak bertanggungjawab dalam menangani isu-isu yang berbangkit dan seterusnya mengusahakan keselesaan serta kualiti hidup yang baik buat warga penduduk.
Apakah fokus pembangunan YB buat penduduk di sini?
Apa yang saya selalu tekankan sepanjang menjadi wakil rakyat ialah tentang kesejahteraan dan kualiti kehidupan. Hal ini termasuklah berkenaan isu perubahan iklim yang memberi impak bukan sahaja kepada negara malah seluruh dunia.
Pada saya isu-isu bencana alam ini jika tidak ditangani dengan baik boleh memberi kesan kepada ekosistem dan menyebabkan risiko bencana yang tidak diingini.
Oleh yang demikian, kita memberi fokus kepada usaha menambah baik sistem perparitan, projek-projek tebatan banjir, inisiatif teknologi hijau, galakkan kebun komuniti dan banyak lagi.
Melalui fokus terhadap masalah iklim ini juga, inisiatif yang berkaitan dapat dijalankan dalam usaha menambah baik kualiti kehidupan kepada penduduk di sini.
Bagaimana YB agihkan dana yang diterima demi memberi kualiti kehidupan kepada penduduk?
Sebenarnya banyak peruntukan yang disediakan terutama sekali melalui persatuan penduduk, rukun tetangga, badan pengurusan bersama, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung serta NGO termasuk rumah agama kerana majoriti komuniti penduduk di sini sangat aktif dengan pelbagai aktiviti.
Selain itu, perancangan peruntukan juga disediakan melihat kepada projek-projek yang memerlukan penambahbaikan dari segi fasiliti, perancangan program-program mesra rakyat, pembangunan komuniti dan sebagainya.
Sebagaimana yang saya sebut, pejabat saya juga menyediakan geran komuniti sejak tahun 2018 yang memberi fokus kepada projek komuniti dengan tujuan untuk menggalakkan penyertaan aktif komuniti.
Selain daripada sambutan perayaan utama, kita juga menganjurkan program tahunan seperti Karnival Rasa Sayang yang bertujuan untuk mempromosi kepelbagaian budaya, seni daripada pelbagai kaum di Malaysia selain dapat mengeratkan hubungan antara komuniti. Dana juga disalurkan untuk program-program pembangunan anak muda dan pemerkasaan wanita.
Malaysia menuju ke arah negara menua, bagaimana YB membuat persiapan di kawasan Bandar Utama?
Umum sedia maklum, warga emas, kebanyakan adalah dalam kalangan mereka yang sudah bersara. Ada yang memberi fokus meluang masa dengan keluarga dan ada juga yang masih aktif menyertai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
Peruntukan hampir RM10,000 disediakan kepada persatuan komuniti warga emas di sini sebagai sokongan untuk menjalankan pelbagai aktiviti bersama ahli-ahli.
Selain itu, yang paling penting adalah fokus kepada saringan kesihatan untuk warga emas seperti saringan fizikal, nasihat tentang senaman yang bersesuaian kerana kita mengharapkan kesihatan mereka berada pada tahap terbaik.
Apakah harapan dan perancangan masa hadapan YB buat penduduk?
Saya berharap momentum kerjasama yang baik bersama pasukan dan agensi-agensi yang terlibat dapat diteruskan dan dikekalkan supaya kita boleh terus memberikan perkhidmatan yang terbaik selain memberi kesejahteraan buat penduduk.
Diharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam membantu membangun serta meningkatkan taraf kehidupan yang membawa kebaikan bersama.
Secara peribadi, fokus utama juga adalah untuk melatih lebih ramai pelapis kepimpinan anak muda dan wanita agar dapat bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara. – WILAYAHKU