SEMUA pihak diseru agar sentiasa bekerjasama tanpa mengira latar belakang organisasi demi merealisasikan agenda besar negara khususnya dalam program-program kenegaraan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail berkata, dengan kerjasama serta penglibatan semua pihak pada Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia perlu ditingkatkan dengan merentasi pelbagai perbezaan yang wujud di antara semua pihak tanpa mengira latar belakang organisasi.
” Kesepaduan ini perlu kita tingkatkan dan bukan sahaja tertumpu pada bulan–bulan tertentu sahaja kerana apa yang kita lakukan ini adalah sebahagian perjuangan memaknai kemerdekaan negara agar ianya berpanjangan serta dijiwai setiap lapisan masyarakat khasnya di pulau ini.
” Kita perlu melihat penganjuran serta penglibatan dalam program sebegini merupakan kesinambungan daripada kisah perjuangan tokoh terdahulu dan apa yang telah kita laksanakan sebagai amanah besar yang perlu dipikul bersama bagi membentuk minda masyarakat agar cakna terhadap perasaan cinta kepada negara yang boleh menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Kita Madani dan Apresasi Semarak Gemilang 2023 anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan, pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek dan Pengarah JaPen Labuan Azman Sipan.
Rithuan yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Labuan menzahirkan sekalung penghargaan kepada semua agensi kerajaan dan swasta, Majlis Perwakilan Penduduk, Komuniti Malaysia Madani, pertubuhan belia, pertubuhan bukan kerajaan dan rakan media atas sumbangan idea mahupun tenaga yang diberikan.
” Inilah semangat dan tahap pemikiran kelas pertama yang perlu dibanggakan kerana kita mengetepikan segala perbezaan yang ada demi merealisasikan agenda besar negara yang ingin melahirkan masyarakat yang akan meletakkan kepentingan negara pada tahap yang teratas,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan hadiah wang tunai bernilai RM3,000 kepada Pemenang Anugerah Semarak Gemilang 2023 yang dimenangi oleh Mohd Hazim Mohd Noor. – WILAYAHKU.