POLIS Labuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan menjalin kerjasama erat dalam memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa yang kian berleluasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Superitendan Mohd Hamizi Halim, kerjasama tersebut juga akan memperkukuhkan integriti dalam penguatkuasaan undang-undang.
“Kerjasama antara dua agensi ini amat penting bagi memastikan gejala rasuah dan salah guna kuasa dapat dibanteras dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Kunjungan Hormat Penolong Pesururuhjaya SPRM Labuan yang baharu, Asisten Komisioner (ACP), Muhammat Aziz ke pejabatnya, baru-baru ini.
Mohd Hamizi berkata kerjasama yang erat dengan pihak SPRM juga dapat menjamin persekitaran lebih telus dan bertanggungjawab.
Sementara itu, Muhammat Aziz berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan mahupun swasta.
“Kerjasama ini bukan sahaja bertujuan menangani cabaran semasa malah untuk memupuk budaya integriti yang tinggi dalam kalangan penjawat awam dan anggota penguat kuasa undang-undang.
“Selain itu, kerjasama ini juga menjadi langkah penting dalam mengekalkan integriti antara pihak SPRM dan polis di Labuan,” katanya. – WILAYAHKU