Berita

Jalan Sungai Besi arah selatan ditutup setahun

BEBERAPA laluan di ibu negara ditutup bermula Sabtu ini.
- Diterbit 3 Ogos 2023 10:25 AM MYT

JALAN Sungai Besi arah ­selatan akan ditutup mulai 5 Ogos (Sabtu) ini sehingga 4 Ogos ­tahun hadapan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan ­kerja-kerja pengubahsuaian dan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini memaklumkan, jalan terlibat adalah Jalan Sungai Besi menghala ke Sungai Besi/Petaling Jaya (berhadapan Fraser Business Park) dan Bulatan Loke Yew.

Menurutnya, bagi ­mengelakkan kesesakan, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan ­alternatif yang disediakan sepanjang ­penutupan jalan berkenaan.

“Pengguna jalan raya ­juga ­dinasihatkan supaya ­mematuhi ­isyarat papan tanda termasuk ­arahan polis trafik sebagai panduan serta langkah keselamatan ­bagi ­mengelakkan kekeliruan dan ­sebarang kesulitan,” jelas DBKL ­dalam satu kenyataan.

DBKL turut memaklumkan, jalan susur dari Jalan Pudu ke Jalan Yew juga ditutup kepada semua lalu ­lintas pada tempoh yang sama.

“Ia adalah bagi membolehkan kerja-kerja meroboh jambatan ­susur dan pembinaan semula jambatan di Bulatan Pudu menghala ke Jalan Sungai Besi (bersebelahan Balai Polis Pudu) dijalankan.

“Pengguna jalan raya boleh ­melalui laluan alternatif yang ­disediakan iaitu melalui Jalan Sungai Besi, Jalan Chan Sow Lin, Jalan Satu, Jalan Dua dan Jalan Tiga,” katanya.

Dalam pada itu, DBKL ­memberitahu sebagai laluan ­alternatif, pengguna jalan raya ­juga boleh menggunakan lencongan trafik sepanjang tempoh penutupan jalan berkenaan.

“Trafik dari Bulatan Kampung Pandan untuk ke Sungai Besi/ Petaling Jaya akan dilencongkan ­kepada dua bahagian iaitu melalui jalan bersebelahan Federal Bakery dan memasuki laluan kontra di lorong bersebelahan.

“Trafik dari Sungai Besi/ Petaling Jaya untuk ke Bulatan Kampung Pandan akan dilencongkan ke susur kiri melalui Bulatan Loke Yew.

“Bulatan Loke Yew ini akan ­ditutup. Justeru itu, bagi trafik Cheras menghala ke Jalan Loke Yew hanya dibenarkan untuk membuat pusingan U sahaja menghala arah Cheras semula. Pengubahsuaian laluan trafik ini adalah kekal. Laluan alternatif trafik dari Cheras menuju ke Jalan Sungai Besi adalah ­melalui Jalan Chan Sow Lin, Jalan Satu, Jalan Dua dan Jalan Tiga.

“Untuk trafik yang datang dari Cheras dan menghala ke Jalan Yew pula hendaklah ­melakukan ­pusingan U di persimpangan ­flyover di Jalan Maharajalela dan ini juga sama ­untuk trafik yang ­datang dari Cheras dan menuju ke kawasan persekitaran Jalan Yew,” jelasnya.

Selain itu, bagi trafik Jalan Kinabalu menghala ke Jalan Loke Yew dan Jalan Sungai Besi akan ­dilencongkan ke Jalan Yew menghala ke Bulatan Pudu ­sahaja. Sebagai laluan alternatif ­pengguna jalan raya hendaklah ­melalui pusingan U di SMK (P) Pudu. Pengubahsuaian laluan trafik ini adalah kekal.

“Laluan trafik Jalan Yew dari Bulatan Kampung Pandan ­untuk ke Jalan Kinabalu dan Jalan Kuching akan ditutup pada tempoh ­pembinaan. Laluan alternatif ­adalah melalui Jalan Kampung Pandan, Jalan Imbi dan Jalan Hang Tuah,” ujar DBKL. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas