JALAN Sungai Besi arah selatan akan ditutup mulai 5 Ogos (Sabtu) ini sehingga 4 Ogos tahun hadapan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, jalan terlibat adalah Jalan Sungai Besi menghala ke Sungai Besi/Petaling Jaya (berhadapan Fraser Business Park) dan Bulatan Loke Yew.
Menurutnya, bagi mengelakkan kesesakan, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif yang disediakan sepanjang penutupan jalan berkenaan.
“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya mematuhi isyarat papan tanda termasuk arahan polis trafik sebagai panduan serta langkah keselamatan bagi mengelakkan kekeliruan dan sebarang kesulitan,” jelas DBKL.
DBKL turut memaklumkan, jalan susur dari Jalan Pudu ke Jalan Yew juga ditutup kepada semua lalu lintas pada tempoh yang sama.
“Ia adalah bagi membolehkan kerja-kerja meroboh jambatan susur & pembinaan semula jambatan di Bulatan Pudu menghala ke Jalan Sungai Besi (bersebelahan Balai Polis Pudu) dijalankan.
“Pengguna jalan raya boleh melalui laluan alternatif yang disediakan iaitu melalui Jalan Sg Besi, Jalan Chan Sow Lin, Jalan Satu, Jalan Dua dan Jalan Tiga,” katanya – WILAYAHKU
Sebagai laluan alternatif, pengguna jalan raya boleh menggunakan lencongan trafik seperti berikut sepanjang tempoh penutupan jalan berkenaan:
a) Trafik dari Bulatan Kampung Pandan untuk ke Sungai Besi/ Petaling Jaya akan dilencongkan kepada dua bahagian iaitu melalui jalan bersebelahan Federal Bakery dan memasuki laluan kontra di Lorong bersebelahan.
b) Trafik dari Sungai Besi/ Petaling Jaya untuk ke Bulatan Kg. Pandan akan dilencongkan ke susur kiri melalui Bulatan Loke Yew.
c) Bulatan Loke Yew akan ditutup. Trafik Cheras menghala ke Jalan Loke Yew hanya dibenarkan untuk membuat pusingan U sahaja menghala arah Cheras semula. Pengubahsuaian laluan trafik ini adalah kekal. Laluan
alternatif trafik dari Cheras menuju ke Jalan Sungai Besi adalah melalui Jalan Chan Sow Lin, Jalan Satu, Jalan Dua dan Jalan Tiga. Untuk trafik yang datang dari Cheras dan menghala ke Jalan Yew pula hendaklah melakukan pusingan U di persimpangan ’fly-over’ di Jalan Maharajalela
dan ini juga sama untuk trafik yang datang dari Cheras dan menuju ke kawasan persekitaran Jalan Yew.
d) Bulatan Loke Yew akan ditutup. Trafik Jalan Kinabalu menghala ke Jalan Loke Yew dan Jalan Sungai Besi akan dilencongkan ke Jalan Yew menghala ke Bulatan Pudu sahaja. Sebagai laluan alternatif pengguna jalan raya hendaklah melalui pusingan U di SMK (P) Pudu. Pengubahsuaian laluan trafik ini adalah kekal.
e) Bulatan Loke Yew akan ditutup. Laluan trafik Jalan Yew dari Bulatan Kampung Pandan untuk ke Jalan Kinabalu dan Jalan Kuching akan ditutup pada tempoh pembinaan. Laluan alternatif adalah melalui Jalan Kampung Pandan, Jalan Imbi dan Jalan Hang Tuah.