Berita

Jalan Masjid India kini disahkan selamat

Foto: MEDIA MULIA
- Diterbit 14 Oktober 2024 1:22 PM MYT

JALAN Masjid India di ibu negara kini disahkan selamat untuk semua bentuk aktiviti.

Demikian ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa ketika menjawab soalan P Prabakaran (PH-BATU) mengenai insiden tanah jerlus yang berlaku di kawasan tersebut baru-baru ini.

Beliau berkata, pengesahan itu berdasarkan kajian dijalankan pasukan petugas khas dipengerusikan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Setelah mengambil kira pandangan kepakaran secara kolektif oleh pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

“Ia juga melibatkan pertubuhan profesional seperti Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan Pertubuhan Geoteknikal Malaysia (MGS),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, beberapa tindakan segera langkah pendek telah dilaksanakan iaitu Audit Integriti Aset Utiliti yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat utiliti di kawasan Central Business District (CBD) termasuklah Jalan Masjid India.

Katanya, pemetaan dan ujian integriti bawah tanah dijalankan bagi mengesan sebarang kelemahan pada aset-aset lama.

Tambahnya, penggunaan teknologi seperti kaedah Ground Penetrating Radar (GPR) dan Mackintosh Probe (MP) digunakan untuk menyiasat struktur tanah.

“Ujian geofizik seperti Micro Gravity dan Ground Settlement Monitoring turut digunakan untuk mengesan sebarang pergerakan tanah atau lohong bawah tanah,” katanya.

Menurutnya, bagi tindakan jangka panjang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan penyiasatan tanah mendalam melibatkan penggunaan teknik ‘deep boring’ serta ujian makmal untuk memastikan struktur tanah stabil.

Katanya, laporan geoteknikal oleh jurutera bertauliah akan disediakan untuk kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko

“DBKL juga akan melaksanakan komunikasi awam menggunakan platform media sosial untuk memberi makluman dan keyakinan kepada masyarakat mengenai tahap keselamatan di kawasan Jalan Masjid India,” katanya.

Berkaitan pampasan kepada ahli keluarga mendiang G. Vijaya Lakshmi iaitu mangsa lubang benam di Jalan Masjid India itu, kerajaan melalui DBKL telah menyumbangkan RM30,000 untuk membantu waris mangsa dalam meringankan beban mereka akibat tragedi ini.

“Keluarga mangsa turut menerima sumbangan daripada pihak swasta yang bersimpati sebanyak RM10,000. Ini merupakan tanggungjawab sosial untuk membantu keluarga mangsa yang trauma atas kehilangan yang tersayang.

“Menyentuh tentang pampasan, kerajaan tidak menghalang sekiranya keluarga mendiang mangsa hendak mengemukakan tuntutan melalui saluran perundangan terhadap agensi yang berkaitan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas