Artikel

Jalan-jalan di Kuala Lumpur

ORANG ramai beratur untuk membeli Nasi Lemak Tanglin di kompleks gerai makan yang sudah berubah wajah.
- Diterbit 7 Jun 2024 10:30 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

MINGGU lalu saya dan isteri bercuti ke Kuala Lumpur. Kononnya nak healing-healing dan mengubah suasana hidup yang hanya terperap di Rawang. Padahal Rawang dan Kuala Lumpur hanya setengah jam perjalanan sahaja.

Ketika usia muda dahulu, hari-hari saya menghadap jem untuk ke Kuala Lumpur kerana sememangnya pejabat di Kuala Lumpur.

Apabila usia sudah melanjut dan anak-anak sudah ada kehidupan masing-masing, kami hanya tinggal berdua di rumah.

Jadi dari terperap di rumah ketika banyak jiran-jiran yang hilang kerana bercuti di musim cuti sekolah, kami memutuskan untuk bercuti ke Kuala Lumpur.

Cuti dan makan tidak boleh dipisahkan. Di samping itu, bercuti kenalah bermalam.

Memulakan acara percutian, kami makan pagi di gerai Nasi Lemak Tanglin. Wow, Kompleks Makan Tanglin sudah berubah banyak rupanya.

Gerai makan ini sudah dinaik taraf dengan suasana yang lebih segar, kerusi meja dan kemudahan yang baharu di samping bangunan utamanya sudah berubah.

Sebelum ini, kita memang ada dengar, antara langkah awal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengangkat sumpah sebagai PM ialah mahu gerai-gerai makan di ibu kota dinaik taraf.

Nampaknya janji ini telah dikotakan. Kompleks Gerai Makan Tanglin sudah berubah wajah. Di samping kerusi, meja baharu, ruang makannya juga sudah lebih luas.

Yang menarik juga, sudah ada satu tapak khas untuk buskers membuat persembahan. Jadi ketika kami makan, dapatlah mendengar lagu-lagu secara live yang sudah menjadi perkara biasa sekarang.

Sebelum kompleks makan ini dinaik taraf, hanya seorang buskers yang membuat persembahan solo di sini tetapi sekarang sudah ada lima anggota buskers ini.

Nasi Lemak Tanglin yang kami makan juga terasa kelainannya. Isteri saya kata, ‘lebih sedap.’ Mungkin kerana suasananya yang lebih ceria.

Selepas makan, kami jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur. Kami meleret di kedai-kedai Bukit Bintang dan masuk ke pusat beli-belah utama di situ. Selepas puas berjalan-jalan kami memasuki hotel yang kami telah pesan lebih awal.

Dari tingkat 31 hotel apartmen itu, kami dapat lihat bandar raya Kuala Lumpur dan yang menariknya ada sekelompok hutan simpan di tengah-tengah bandar raya ini. Memang menarik.

Tetapi yang cacatnya, hutan ini dikelilingi oleh papan penghadang yang kelihatan sudah lusuh. Papan ni seumpama pagar untuk satu projek yang sedang berjalan padahal ini memagari satu kawasan hutan.

Buruk betul nampaknya padahal di dalamnya ada hutan yang cantik di tengah bandar raya. Mungkin Datuk Bandar Kuala Lumpur boleh melihat semula hal ini.

Saya yakin, kalau promo dibuat dengan lebih baik dan penjagaan hutan ini dibuat dengan lebih teliti, semakin ramai akan memasuki hutan di tengah kota ini sebagaimana Central Park yang terletak di tengah-tengah kota New York.

Pemandangan di waktu malam ibu kota Kuala Lumpur, dari hotel kami juga sangat menarik. Ia diserikan dengan hutan yang terletak di tengah-tengah kota itu. Yang menjadi tumpuan adalah bangunan KL Tower, KLCC serta Menara 118.

Di waktu pagi esoknya, selepas membuat semakan di media sosial, kami dapati ada satu kedai makan pagi yang popular di kawasan Bukit Bintang, tempat penginapan kami ini. Namanya Banglo 289.

Ia terletak hanya lima minit sahaja menaiki kereta dari tempat penginapan kami. Apabila masuk saja ke kawasan ini, saya dan isteri terkejut. Wow ramainya orang.

Rupanya, kedai makan ini sangat popular cuma kami sahaja yang tidak tahu. Padahal ini bukan kali pertama kami mencari tempat makan pagi di Kuala Lumpur ini.

Pelbagai jenis makanan khasnya kuih-muih yang ada di sini. Saya memesan lempeng kelapa manakala isteri saya pula nasi berlauk Kak Mah.

Lempeng kelapanya memang sedap manakala isteri saya pula berkata, “Sudah lama tak makan nasi kerabu sesedap ini.”

Harganya agak mahal tetapi berbaloi dengan rasa dan suasananya.

Rupanya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini memang hebat dan patutlah Kuala Lumpur menjadi antara destinasi pelancongan popular seluruh dunia.

Semoga Allah berkati Kuala Lumpur, terus maju dan makmur.

Sekadar pandangan daripada penduduk Lembah Klang yang bercuti di Kuala Lumpur.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas