Berita

JAKIM teliti kenyataan ‘kemenangan politik’ kempen PRK Ayer Kuning

- Diterbit 21 April 2025 11:00 AM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang meneliti kenyataan seorang ahli politik semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang didakwa mengaitkan kemenangan politik lebih utama berbanding umrah dan haji.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, tindakan itu dilakukan bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak berautoriti berkaitan.

“Ini bagi memastikan umat Islam memahami dengan jelas kedudukan ibadah umrah dan haji dalam Islam serta menghayatinya berdasarkan panduan syarak serta tidak disalah tafsir,” katanya dalam kenyataan.

Sirajuddin berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung kenyataan yang dilaporkan media bertajuk ‘PRK Ayer Kuning: Kemenangan politik lebih utama daripada tunai umrah, haji’.

“JAKIM menyeru semua pihak agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hal-hal berkaitan agama supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas