JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan produk ‘ham & cheese sandwich’ keluaran sebuah syarikat pengeluar sandwic tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan pada Khamis berkata, malah syarikat berkenaan juga bukan pemegang SPHM.
Kenyataan beliau itu merujuk kepada laporan media bertajuk ‘Bahan mentah sandwic kontroversi ada sijil halal JAKIM’ bertarikh 15 Januari yang antara lain memaklumkan syarikat terbabit memiliki pensijilan halal daripada JAKIM.
“Pemeriksaan yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 10 Januari lalu mendapati, produk ‘ham & cheese sandwich” berkenaan bukan sahaja tidak mempunyai SPHM malah syarikat yang menghasilkan produk tersebut juga bukan pemegang SPHM.
“Hasilnya, tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 telah diambil oleh pihak KPDN,” jelas Sirajuddin.
Beliau menambah, dalam konteks pensijilan halal Malaysia, mana-mana produk atau perkhidmatan tidak boleh diperihal halal dan ditanda dengan halal selagi mana tiada pengesahan mahupun perakuan daripada Pihak Berautoriti Pensijilan Halal Malaysia.
Katanya, penggunaan sijil halal pembekal tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal.
“Hal ini kerana sesuatu produk hanya boleh diperakui halal oleh pihak berautoriti setelah memenuhi standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang merangkumi aspek pengendalian, penyediaan dan pemprosesan secara keseluruhan.
“Oleh itu, JAKIM menggesa pengusaha-pengusaha supaya cakna terhadap peruntukan undang-undang yang digunapakai bagi mengelakkan daripada perkara sebegini berulang,” tegasnya. – WILAYAHKU