Berita

JAKIM, PDRM, JHEAT pantau cubaan hidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin

- Diterbit 11 Disember 2024 10:30 AM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melakukan pemantauan bagi membendung ajaran sesat Ayah Pin yang pernah menggemparkan negara dengan ‘Kerajaan Langit’ sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini susulan terdapat laporan pada Mac lalu mengenai cubaan pihak tertentu untuk menghidupkan semula ajaran berkenaan.

Menurut beliau, pemantauan turut dilakukan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Walau bagaimanapun hasil siasatan sehingga kini, ia dapat dirumuskan secara fizikalnya tidak ada aktiviti yang mencurigakan.

“Tiada laporan secara jelas wujudnya aktiviti yang bercanggah dengan ajaran Islam sebagaimana yang dilakukan oleh pengikut Ayah Pin satu ketika dahulu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai status kumpulan ajaran sesat di Terengganu terutamanya kumpulan Ayah Pin.

Mohd Na’im menambah, JHEAT ketika ini sedang giat memantau dan mengambil tindakan untuk mencegah kebangkitan semula ajaran sesat termasuk ajaran Ayah Pin.

Ajaran itu katanya, telah diharamkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu pada 1997.

Beliau berkata, ajaran dan pegangan Ayah Pin adalah palsu, sesat, menyeleweng dan boleh membawa ancaman kepada ketenteraman orang awam serta merosakkan akidah.

“Sebelum ini, pengasas ajaran tersebut Ariffin Muhamad atau Ayah Pin, 74, telah meninggal dunia di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut, Terengganu pada 22 April 2016.

“Sehubungan itu, JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri denga kerjasama PDRM terus melakukan pemantauan secara berterusan bagi membendung ajaran terbabit supaya ancaman ajaran sesat
secara tegas dapat ditangani demi menjaga keharmonian dan kestabilan akidah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas