Berita

JAKIM pandang serius isu kasut didakwa mirip kalimah Allah

- Diterbit 8 April 2024 2:44 PM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius terhadap isu logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusof berkata isu tersebut jelas melibatkan sensitiviti umat Islam serta boleh menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Justeru, seperti yang diarahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), pada hari ini JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn. Bhd., Datuk Seri Ng Chuan Hoo bagi tujuan siasatan dan meminta penjelasan mengenainya dan langkah-langkah pihak syarikat untuk mengelakkan isu seumpama ini berulang.

“Pihak Vern’s Holding Sdn. Bhd. telah menjelaskan kedudukan sebenar isu tersebut serta memohon maaf. Pihak syarikat telah mengambil tindakan drastik dengan menarik balik serta-merta produk tersebut dari lebih 70 cawangan Vern’s di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihak JAKIM menyokong penuh tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengadakan siasatan lanjut dan sekiranya wujud elemen disengajakan dalam isu logo kasut tersebut oleh pihak syarikat maka tindakan sewajarnya perlu diambil.

“Pihak JAKIM tidak mahu kes sebegini berulang lagi di masa akan datang sama ada oleh pihak Vern’s Holding Sdn. Bhd. dan juga semua pihak yang menghasilkan apa sahaja produk jualan.

“Pihak JAKIM juga memperingatkan dengan tegas kepada pihak Vern’s Holding Sdn. Bhd. dan juga kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan semua pihak untuk tidak membangkitkan isu-isu yang menyentuh aspek 3R (agama,raja dan kaum) yang boleh menimbulkan ketegangan dan menjejaskan keharmonian.

“Isu sensitif tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan memandangkan kes ini telah pun dibuka kertas siasatan oleh pihak polis,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak 1,145 kasut jenama Vern’s telah dirampas, susulan dakwaan logo mirip kalimah Allah yang terletak di tapaknya dengan rampasan dibuat di empat negeri iaitu Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, pihak Polis membuka satu kertas siasatan berkaitan dakwaan jenama kasut memaparkan logo mirip kalimah Allah pada tapaknya yang tular di media sosial.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Susulan itu, Pengurusan Vern’s Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya yang pada pandangan mereka disalah tafsir hingga menyinggung perasaan umat Islam di negara ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas