Berita

JAKIM lapor insiden hina Nabi Muhammad kepada SKMM

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee
- Diterbit 28 Mac 2025 10:23 PM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa sebarang perbuatan menghina agama adalah tidak bermoral, tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip keharmonian masyarakat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, menyatakan kekesalan terhadap insiden penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW yang tular di media sosial baru-baru ini. Menurutnya, tindakan tersebut bukan sahaja tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi juga bertentangan dengan semangat perpaduan rakyat Malaysia.

“JAKIM telah mengambil langkah melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan tersebut.

JAKIM turut menyeru agar semua pihak berhati-hati dan bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial, dengan tidak mengeluarkan kenyataan atau penulisan yang boleh menyinggung sensitiviti agama dan kaum.

“Tindakan seperti ini hanya akan merosakkan keharmonian serta perpaduan rakyat Malaysia yang telah lama dibina,” tegasnya.

Bagi memperkukuh kesedaran masyarakat, JAKIM akan terus memperhebatkan program advokasi dan pendidikan agar masyarakat lebih berhati-hati serta memahami sensitiviti agama dalam interaksi di media sosial.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas