Berita

JAKIM, KPDN bekerjasama ambil tindakan penguatkuasaan, pendakwaan pihak salah guna logo halal palsu

- Diterbit 13 Januari 2025 10:49 PM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarahkan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan dan membawa ke muka pengadilan pihak yang didakwa menyalahgunakan label logo halal.

Demikian ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar merujuk kepada kejadian yang berlaku di premis jualan runcit 24 jam yang terletak di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Menurut beliau, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan apa-apa isu yang melibatkan integriti dan kepentingan awam.

“Kita berasa dukacita dengan kejadian yang berlaku di premis jualan runcit 24 jam di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

“Tindakan segelintir pihak yang menyalahgunakan label logo halal pada produk adalah satu kesalahan yang serius,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Na’im berkata, pihaknya ingin memberikan peringatan kepada semua agar tidak menyalahgunakan label logo halal pada mana-mana produk yang dikeluarkan.

Tegas beliau, tindakan menyalahgunakan label logo halal adalah suatu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Semua pihak adalah dimohon untuk sentiasa merujuk kepada JAKIM dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri dalam isu-isu berkaitan halal,” katanya.

Terdahulu media melaporkan UM menutup serta-merta dua premis jualan runcit 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwich diragui status halal.

Dalam kenyataan media, UM menyatakan arahan penutupan itu dikeluarkan bagi memberi ruang agar siasatan dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.

JAKIM mengesahkan produk ‘ham and cheese sandwich’ itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas