PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berjaya menghantar bantuan melalui Tabung Bantuan Musa’adah Covid 19 kepada 42 buah kampung Orang Asli di Perak dan Pahang secara berperingkat mulai semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk. Dr. Zulkifli Mohamad Al- Bakri berkata, pada peringkat permulaan bantuan itu melibatkan 15 buah kampung Orang Asli di Pos Kemar dan Gerik, Perak manakala 27 kampung lagi di Cameron Highlands dan Lipis, Pahang.
“Wang sumbangan adalah daripada orang ramai melalui Tabung Musa’adah.
“Jakim mengambil inisiatif menyantuni golongan tersebut untuk meneruskan kehidupan seharian yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Situasi ini turut memberi kesan terhadap sebilangan besar ketua isi rumah bagi masyarakat Orang Asli khususnya yang tinggal di pinggir bandar dan kawasan pendalaman,” ujarnya.

Buat masa kini Jakim mempunyai 244 orang Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) yang bertugas di Kampung Orang Asli di sembilan buah negeri.
Mereka merupakan wakil Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk menyelaras dan membantu dalam pengagihan sumbangan tersebut.
Zulkifli berkata, sumbangan yang diterima merupakan hasrat dan amanah masyarakat itu perlu diagihkan kepada golongan yang benar-benar berhak.
“Ia akan diagihkan kepada keluarga tanpa mengira agama. Justeru, diharapkan semoga sumbangan ini dapat menjaga kebajikan sekali gus membuktikan komitmen dan usaha kerajaan khususnya agensi agama dalam membantu masyarakat Orang Asli di pedalaman serta mempamerkan keindahan Islam,” katanya. –
Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Penggerak Masyarakat Orang Asli Jakim Negeri Pahang (Pahang Barat), Ustaz Akmal Akram bersama tiga orang Penggerak Masyarakat Orang Asli Jakim dengan kerjasama JAKOA Daerah Cameran Highlands telah mengagihkan bantuan dari Tabung Musaadah Covid-19 Jakim di Kampung Orang Asli Panggen, Cameron Highlands.
Bantuan dalam bentuk barangan kering telah disampaikan kepada 345 orang penduduk dari 69 buah keluarga Orang Asli yang beragama Islam dan bukan Islam.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan ke Tabung Musa’adah Covid-19 Jakim bolehlah salurkan ke Akaun Tabung Bencana Alam, Bank Islam Malaysia Berhad, No Akaun: 16027010001528. – WILAYAHKU