Berita

JAKIM giat usaha pencerahan kepada usahawan bukan Islam

- Diterbit 21 November 2024 2:10 PM MYT

SETAKAT 10 November 2024, sebanyak 1,926 syarikat seluruh Malaysia iaitu mewakili 10,814 permis makanan mendapat Sijil Halal.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata antara usaha yang dijalankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memberikan penjelasan tentang halal adalah melalui Program Halal on Track selain mengadakan Klinik Halal kepada usahawan dan juga kepada mereka-mereka yang mendapatkan sijil Halal.

“Selain daripada itu, apa yang kita lakukan sekarang ini adalah untuk memberikan maklumat menerusi media dan juga menerusi saluran komunikasi yang terbaik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Rodziah Ismail (PH-Ampang) berkenaan usaha-usaha JAKIM membantu pengusaha-pengusaha bukan Islam mendapatkan pensijilan Halal.

Jelas beliau, JAKIM turut mempunyai aplikasi digital, Verify Halal dan juga Smart Halal selain maklumat-maklumat yang terperinci dalam www.halal.gov.my.

“Ini merupakan antara usaha yang akan diteruskan termasuk juga mempergiatkan usaha untuk memberi pencerahan kepada usahawan bukan Muslim,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas