Berita

JAKIM catat kutipan lebih RM80 juta fi pensijilan halal dari 2012 sehingga 2023

Foto: BERNAMA
- Diterbit 29 Oktober 2024 4:31 PM MYT

SEBANYAK RM80,032,254.43 fi pensijilan halal dikutip Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak 2012 sehingga 2023 berdasarkan rekod Sistem MYeHALAL.

Selain itu, pemohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari 2012 sehinggalah tahun lalu.

Bermula 4,000 pemegang SPHM pada 2012, angka itu kini mencecah 11161 pemegang tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkata jumlah fi pensijilan halal menunjukkan peningkatan setiap tahun, sekali gus menggambaran kefahaman serta kesedaran mengenai kepentingan pensijilan halal sebagai nilai tambah dalam kalangan usahawan dan pihak industri semakin tinggi.

“Industri halal telah dikenal pasti sebagai salah satu industri strategik dan berimpak tinggi dalam RMKe-11 dan RMKe-12 bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Berdasarkan dokumen RMKe-12, pembangunan industri halal akan diperkukuh bagi melahirkan pemain industri halal tempatan yang berdaya saing dalam merebut peluang pasaran halal global yang lebih besar.

“Kredibiliti Malaysia sebagai peneraju dalam pensijilan halal telah diperakui di peringkat global sehingga membawa peluang perdagangan dan pelaburan serta membuka pintu bagi syarikat pengeluar produk halal Malaysia ke pasaran global,” kata Mohd Na’im.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (Labis) mengenai jumlah keseluruhan dikutip JAKIM untuk pengeluaran sijil halal dan jumlah sijil halal yang dikeluarkan dari 2012 sehingga tahun lalu.

Menurut Mohd Na’im lagi, kerajaan juga sentiasa komited untuk meningkatkan jumlah permohonan pensijilan halal Malaysia daripada kalangan pemain industri halal termasuk usahawan Industri Kecil dan Mikro.

“Dalam hal ini, kerajaan melalui JAKIM dan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN/JAIN) mengadakan kolaborasi serta kerjasama dengan agensi pembimbing dengan matlamat mempersiapkan industri agar dapat bersedia dan memenuhi segala keperluan bagi permohonan pensijilan halal,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas