Berita

JAKIM buat laporan polis, MCMC individu persenda Islam

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee
- Diterbit 6 Mac 2025 12:00 PM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah membuat laporan polis berhubung tindakan seorang individu memuat naik kandungan media yang jelas mempermain serta mempersenda ajaran Islam.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, ini bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap individu berkenaan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.

Selain itu katanya, JAKIM turut melaporkan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tindakan lanjut terhadap kandungan yang menyentuh sensitiviti agama Islam.

“JAKIM menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan.

“Kenyataan di media sosial tersebut telah jelas mencetuskan ketidakharmonian dalam masyarakat, malah berpotensi menimbulkan ketegangan antara agama dan kaum,” katanya dalam kenyataan.

Sirajuddin berkata, oleh itu, semua pihak harus menghentikan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi, kemarahan dan ketegangan dalam masyarakat.

“Dalam bulan Ramadan yang penuh mulia ini, semua pihak dinasihatkan untuk mengamalkan sikap hormat-menghormati serta menjaga adab.

“Keamanan dan kesejahteraan negara hanya dapat dikekalkan melalui sikap saling menghormati serta memahami antara masyarakat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas