Berita

JAKIM bakal adakan perbincangan khas Muzakarah MKI

- Diterbit 6 April 2025 7:45 PM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan satu perbincangan khas Muzakarah Majlis Hal Ehwal Islam Kebangsaan (MKI) dalam kadar segera.

Ia susulan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia berkaitan isu pencerobohan Israel ke atas Gaza, Palestin.

Fatwa ini hadir dalam suasana krisis kemanusiaan yang amat meruncing, yang menyaksikan kezaliman berterusan terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr Na’im Mokhtar berkata beliau mengambil maklum berkenaan fatwa yang dikeluarkan dan perbincangan khas bakal diadakan bagi menelitinya secara mendalam dan menyeluruh.

“Saya juga telah meminta agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk mengadakan libat urus bersama para agamawan dan pertubuhan-pertubuhan Islam bagi membincangkan implikasi fatwa tersebut dari pelbagai sudut, demi menjaga kepentingan serta kesejahteraan negara dan umat Islam, khususnya saudara kita di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Na’im berkata agensi-agensi di bawahnya akan terus komited melaksanakan pelbagai usaha bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan, termasuk melalui Tabung Kemanusiaan Palestin yang telah ditubuhkan, untuk meringankan beban kehidupan rakyat Gaza yang sedang diuji.

“Kita semua memikul tanggungjawab bersama untuk terus menyuarakan sokongan, menzahirkan solidariti dan mendoakan kemenangan buat rakyat Palestin yang sedang dizalimi.

“Semoga segala usaha ini menjadi asbab kepada kebebasan dan keamanan yang hakiki buat bumi Gaza,” katanya.

Terdahulu Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia mengeluarkan fatwa berhubung kesinambungan serangan ke atas Gaza dan pelanggaran gencatan senjata oleh rejim penjajah Israel.

Antara intipati utama fatwa tersebut adalah Kewajipan jihad bersenjata terhadap penjajah di Palestin bagi setiap Muslim yang mampu di dunia Islam; Kewajipan campur tangan ketenteraan segera oleh negara-negara Arab dan Islam; Kewajipan mengepung musuh Zionis secara darat, laut, dan udara, termasuk menyekat laluan perairan, selat, serta ruang udara di negara-negara Arab dan Islam; Kewajipan syarie untuk menyokong perjuangan perlawanan dari segi ketenteraan, kewangan, politik, dan hak asasi manusia; Keperluan mendesak menubuhkan pakatan ketenteraan Islam bagi melindungi umat dan menghalang pencerobohan, yang merupakan kewajipan syarie secara segera.

Seterusnya, Pengharaman normalisasi hubungan dengan musuh Zionis; Pengharaman bekalan minyak dan gas kepada entiti Zionis; Keperluan mengkaji semula perjanjian damai yang telah dimeterai oleh beberapa negara Arab dengan entiti penjajah; Kewajipan berjihad dengan harta untuk membantu saudara kita di Gaza dan mempercepatkan pembukaan laluan bantuan dan Seruan kepada komuniti Muslim di Amerika Syarikat untuk menekan Trump dan kerajaannya agar memenuhi janji pilihan rayanya dalam menghentikan pencerobohan dan menegakkan keamanan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas