SYARIKAT tekstil terkemuka, Kumpulan Jakel, hampir mengambil tindakan undang-undang terhadap Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang berada di atas tanah milik mereka, namun dinasihatkan untuk mencari penyelesaian secara rundingan, kata Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Faroz Jakel.
Beliau berkata, pihaknya telah menunggu lebih 11 tahun untuk memulakan pembinaan Masjid Madani di tapak berkenaan, namun berdepan pelbagai cabaran sebelum akhirnya menerima kelulusan penuh.
“Kami hampir mengambil tindakan undang-undang, tetapi Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, menasihatkan supaya langkah itu dielakkan kerana ia boleh mencetuskan ketegangan kaum.
“Sebaliknya, beliau (Zaliha) mencadangkan agar perkara ini dibawa terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk penyelesaian muktamad,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah masjid itu di Jalan Munshi Abdullah di sini, hari ini.
Menurut Faroz, usaha membangunkan masjid di atas tapak seluas 12,142 kaki persegi itu telah bermula sejak 2009 dengan perbincangan antara Jakel dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Surat tawaran rasmi DBKL telah dikeluarkan pada 6 Ogos 2012, diikuti dengan bayaran deposit sebanyak 10 peratus dua hari kemudian. Pada 2014, perjanjian jual beli tanah dengan DBKL dimeterai, dan pembayaran penuh diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata, permohonan pembinaan masjid telah dikemukakan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada Julai 2019 dan mendapat kelulusan dalam tempoh 24 hari.
“DBKL turut meluluskan perintah pembangunan pada 12 Februari 2020, diikuti dengan kelulusan pelan bangunan pada 17 Jun 2021. Kelulusan itu juga telah diperbaharui beberapa kali sehingga kini,” jelasnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa Perdana Menteri turut mencadangkan beberapa perubahan terhadap rekabentuk masjid termasuk peranan masjid tersebut untuk menjadi pusat kebudayaan setempat.-WILAYAHKU