Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

JAIS arah agensi, masjid, surau dan musolla tangguh ceramah Ustaz Don Daniyal

- Diterbit 26 Jun 2024 10:12 AM MYT

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla bagi menangguhkan atau tidak membuat apa-apa tindakan mengundang Ustaz Don Daniyal Don Biyajid untuk mengajar agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam di premis masing-masing pada 21 Jun lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata ketetapan dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh Ustaz tersebut disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah amat berkenan dan menekankan kepada para pemegang tauliah agar umat Islam di Negeri Selangor dapat diberikan kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam.

“Sehubungan itu, JAIS perlu menghentikan perkara seumpama ini dengan segera supaya tidak berleluasa di Negeri Selangor berkaitan apa jua bentuk pandangan-pandangan dan pernyataan tentang hukum-hakam agama Islam yang tidak berasaskan nas dan dalil yang sahih serta di luar pengetahuan umum majoriti umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Mohd Shahzihan, Mesyuarat Jawatankuasa Tauliah MAIS telah memutuskan Ustaz Don Daniyal perlu mengemukakan kenyataan bertulisnya kepada jawatankuasa terhadap beberapa fakta tentang ceramah agama yang dibuat olehnya.

Jelas beliau, ia selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap beliau.

“Berdasarkan beberapa aduan yang diterima oleh pihak Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS, satu kertas siasatan juga dibuka terhadap Ustaz Don Daniyal Bin Don Biyajid di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“JAIS amat berharap agar semua pihak di Negeri Selangor dapat berkerjasama dan akur serta dapat mematuhi arahan untuk tidak mengundang atau membatalkan sesi ceramah atau apa-apa jua bentuk pengajaran agama Islam yang akan dilaksanakan melibatkan Ustaz Don Daniyal sehingga Jawatankuasa Tauliah MAIS membuat keputusan muktamad tentang kedudukan beliau sebagai pemegang tauliah mengajar MAIS,” ujarnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas