“JAIS akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan tanah miliknya,” tegas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, susulan isu pembinaan tanpa kebenaran di atas tanah JAIS yang tular pada 9 April lalu.
Menurut beliau, individu atau pihak yang terlibat merupakan bekas penduduk dari Ladang Galloway yang ditempatkan sementara di atas tanah JAIS di Sungai Langat selepas pengambilan tanah untuk projek pembangunan Cyberjaya.
“Mereka telah mendapat kelulusan status menduduki sementara (TOL) dan diberi penempatan sementara oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.
Mohd Shahzihan menjelaskan bahawa pada tahun 2007, Kerajaan Negeri telah mengarahkan pengosongan tanah bagi tujuan pembinaan masjid, dan arahan tersebut diperkuatkan lagi pada tahun 2011 apabila tanah tersebut dirizabkan untuk projek pembangunan masjid di bawah seliaan JAIS.
“Sejak pewartaan tanah itu sebagai tapak pembinaan masjid, JAIS tidak pernah memberikan sebarang kebenaran atau kelulusan kepada mana-mana pihak untuk menjalankan sebarang aktiviti pembinaan,” ujarnya.
Namun begitu, pada tahun 2024, JAIS mengesan wujudnya aktiviti pembinaan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan telah mengeluarkan surat bertarikh 10 September 2024 bagi mengarahkan pengosongan segera.
“Walaupun laporan polis tidak dibuat kerana penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa PDT Sepang, tindakan JAIS tetap berdasarkan peruntukan undang-undang Kanun Tanah Negara 1965,” jelas beliau.
Beliau berkata JAIS memandang serius tindakan individu atau pihak tertentu yang membina struktur bangunan tanpa sebarang pengesahan daripada pihak JAIS.
“Tiada sebarang akuan atau kelulusan pembinaan premis diberikan oleh JAIS kepada mana-mana pihak,” tegasnya sambil menambah bahawa tindakan lanjut akan diambil sekiranya arahan pengosongan tidak dipatuhi.
Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan berkata tindakan JAIS adalah selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor yang mahu semua tanah di bawah kawalan JAIS dibersihkan daripada sebarang bentuk pencerobohan.
“JAIS akan bekerjasama dengan PDT Sepang bagi memastikan pengosongan dilakukan dalam tempoh satu bulan, khususnya di tapak pembangunan masjid Dengkil,” katanya.
Mohd Shahzihan turut memberi jaminan bahawa JAIS bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi penguat kuasa negeri akan memastikan tiada aktiviti pembinaan haram berlaku di atas tanah milik jabatan itu.
Sebarang aduan atau maklumat berkaitan pencerobohan tanah JAIS boleh dilaporkan menerusi Talian Hotline Penguatkuasa JAIS di 1-800-88-2424 untuk tindakan segera.
“JAIS tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menceroboh atau menggunakan tanah kami tanpa kelulusan sah,” katanya.-WILAYAHKU