Fokus

Jahil punca mudah terpengaruh ajaran sesat

Gambar hiasan
- Diterbit 16 Ogos 2024 11:40 AM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

PERKEMBANGAN teknologi hari ini membantu penyebaran maklumat dengan lebih pantas namun disalahgunakan dengan menyebarkan ajaran sesat secara terbuka menggunakan platform-platform media sosial untuk mencari serta menarik pengikut baru.

Menurut Profesor di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Khalif Muammar A Harris, banyak maklumat yang salah dan mengelirukan mengenai agama Islam tersebar di media sosial kini membuatkan mereka yang jahil ini mudah terpengaruh dengan maklumat palsu tersebut.

“Sebagai contoh baru-baru ini ada yang mendakwa bahawa kaabah itu bukan di Mekah tetapi terletak di Jordan dan kononnya itu adalah berdasarkan kajian seorang orientalis walhal individu tersebut bukanlah seorang pakar sejarah dan tidak mempunyai sebarang autoriti.

“Namun orang awam yang jahil ini tidak boleh membezakan di antara sumber rujukan yang berautoriti, berwibawa dan boleh dipercayai dengan sumber yang meragukan. Kerana itu, saya katakan bahawa kejahilan ini adalah satu faktor yang menjadi penyebab utama suburnya ajaran sesat,” katanya.

Jelasnya lagi, justeru itu, umat Islam perlu menjauhi kejahilan di mana pembelajaran agama Islam perlu dilakukan bersama orang yang berwibawa atau para ulama dan tidak bergantung kepada maklumat yang diperoleh dalam Internet semata-mata.

“Kebiasaannya mereka yang memperdaya atau terpedaya ini adalah berdasarkan kepada keuntungan peribadi sahaja sama ada bertujuan mengumpul kekayaan atau mendapatkan pengaruh orang ramai bukanlah untuk kepentingan masyarakat mahupun agama.

“Individu-individu yang mengamal dan menyebarkan ajaran sesat ini biasanya mengaku dengan pelbagai dakwaan palsu seperti ada yang mengatakan diri mereka nabi serta mempunyai kuasa ghaib untuk mengampunkan dosa atau memberi pahala.

“Ada juga yang mendakwa mempunyai kemampuan luar biasa seperti boleh nampak syurga dan neraka atau memberi maklumat tentang masa depan serta alam ghaib. Pengikutnya terpedaya kerana karisma atau rasa taasub terhadap guru tersebut disokong oleh kejahilannya tersendiri mengenai ilmu agama Islam,” jelasnya.

Mengulas lanjut berkenaan ajaran sesat yang tersebar kebelakangan ini, Khalif Muammar berkata terdapat gerakan yang tersebar hampir di seluruh Malaysia mempunyai gerakan Imam Mahdi yang mengatakan bahawa agama Yahudi, Kristian dan Islam adalah agama yang sama benar.

“Mereka juga mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW itu bukanlah penghulu nabi sebaliknya Nabi Ibrahim yang dipilih dan Imam Mahdi yang muncul di akhir zaman nanti adalah Nabi Ibrahim.

“Jelas bahawa semua dakwaan ini bertentangan dengan ijmak, dalil Al-Quran dan As-Sunnah, tidak benar serta kepercayaan yang dibuat-buat. Saya melihat ini adalah satu kaedah baharu dalam memurtadkan umat Islam di mana kalau dahulu kita disibukkan dengan usaha mengkristiankan orang Islam namun pada hari ini mereka berasa cukup dengan mengelirukan umat Islam supaya menerima agama lain selain Islam.

“Ajaran sesat ini mahu menunjukkan bahawa semua agama adalah benar dan murtad bukanlah satu kesalahan kerana agama Yahudi, Kristian dan Islam itu semua diterima oleh Allah dan ia bertentangan dengan syariat serta akidah Islam,” ujarnya.

Khalif Muammar menasihatkan agar orang ramai mencari guru yang benar dalam mempelajari ilmu agama Islam bukan sahaja melihat kepada status selebriti atau pempengaruh.

“Ada yang mengaku bahawa dirinya ulama sedangkan bukan kerana itu perlu bijak dalam memilih guru. Para ulama merupakan autoriti dalam hal keagamaan jadi mereka ini yang akan menetapkan atau menentukan sesuatu ajaran itu sesuai dengan ajaran Islam atau sebaliknya, jadi institusi ulama itu perlu dihormati atau dirujuk oleh umat Islam.

“Satu perkara yang saya nak tekankan untuk elakkan ajaran sesat ini daripada terus berleluasa adalah umat Islam perlu memahami bahawa ajaran Islam ini datang kepada kita melalui orang yang dipercayai iaitu Rasulullah SAW yang disebut dengan Al-Amin, orang yang dipercayai bahkan dipercayai oleh masyarakat Quraisy pada masa itu.

“Seterusnya para sahabat juga adalah orang yang dipercayai begitu juga para ulama dipercayai dari segi keilmuan, akhlak serta keperibadian mereka. Jadi atas dasar itu, apa yang mereka katakan itu berdasarkan kebenaran yang mereka terima daripada ulama sebelumnya dan mempunyai sandaran yang kuat dan bukan didorong oleh hawa nafsu,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas