Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
DISANGKA panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perumpamaan tersebut cukup menggambarkan bahawa kita sebagai manusia hanya mampu merancang namun perancangan Allah lebih sempurna. Sejak kebelakangan ini, kita disajikan dengan banyak kes perceraian baik dalam kalangan individu yang dikenali mahupun mereka yang berada di sekeliling kita.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada November 2022, sebanyak 43,934 kes perceraian dilaporkan pada 2021 dan daripada jumlah itu, lebih 23,000 kes melibatkan pasangan muda.
Pertambahan angka tersebut dilihat sangat membimbangkan, malah boleh mendatangkan rasa takut buat mereka yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga.
Mengulas tentang perkara tersebut, Peguam Syarie, Mohd Yazid Sa’at berkata kelangsungan sesebuah perkahwinan amat bergantung kepada persediaan mental, fizikal, emosi serta spiritual suami dan isteri.
“Justeru, penting bagi pengurusan dan sistem kekeluargaan yang mapan kerana corak kehidupan sebuah keluarga mampu mempengaruhi corak kehidupan sebuah masyarakat.
“Perkahwinan bukan sekadar sebagai ikatan yang sah antara lelaki dan wanita namun ia perlu disertai dengan tanggungjawab, komitmen serta ilmu berkaitan dalam melayari kehidupan berumah tangga,” ujarnya.
Tambah beliau, perkahwinan merupakan satu akad kontrak yang dibenarkan hukum syarak bagi meraikan naluri insan dan antara objektif utamanya adalah untuk pasangan itu bersenang-senang.
“Keadaan itu memerlukan persefahaman yang wujud daripada kedua-dua belah pasangan. Namun akibat kejahilan dalam ilmu rumah tangga, sedikit kesilapan dan kelemahan pasangan terus sahaja menjadi punca yang menyemarakkan lagi api permusuhan antara pasangan.
“Akibatnya, lafaz talak dan cerai menjadi zikir harian yang akhirnya tidak dapat dipertahankan lagi dan akibatnya berlakulah talak tanpa fikiran yang rasional.
“Kalau kita perhatikan, faktor perceraian ini tidak ada perbezaan sama ada orang tua atau pasangan muda. Paling banyak adalah tiada persefahaman. Ada juga faktor lain seperti penyalahgunaan dadah, keganasan rumah tangga dan terbaru pelbagai elemen media sosial menjadi punca perceraian,” ujarnya.
Beliau berkata dalam kebanyakan kes, isteri akan cuba untuk mempertahankan perkahwinan demi menjaga anak dan menunggu sehingga satu tempoh yang lama.
“Apa yang saya nampak, jika membabitkan isteri yang tidak bekerja dan bergantung kepada suami semata-mata, sang isteri sanggup mengorbankan dan mempertahankan rumah tangga demi kepentingan anak. Dia boleh berkompromi untuk satu tempoh masa tertentu dan selepas itu perkahwinan sudah tiada apa-apa,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Yazid berkata kebanyakan kes yang dirujuk kepadanya membabitkan mereka yang sudah tiada perasaan kasih sayang terhadap pasangan masing-masing.
“Antara punca utama perceraian membabitkan pasangan adalah disebabkan perselisihan faham akibat perbezaan pendapat selain ia berlaku dalam keadaan beremosi dan mental yang tidak stabil.
“Masalah dan isu saban hari yang mereka kerap hadapi adalah tidak boleh berkomunikasi dengan baik dan perbezaan pengharapan di mana pengharapan yang tinggi selalunya diletakkan ke atas salah seorang pasangan.
“Mereka enggan berkompromi dan mencari alternatif untuk menyelesaikan isu atau masalah yang dihadapi. Isu ini kerap berlaku di antara pasangan dan ia menjadi lebih kritikal apabila keadaan dari segi emosi atau mental salah seorang pasangan atau kedua-duanya tidak stabil terutamanya membabitkan perkara yang remeh-temeh,” ujarnya.
Justeru, beliau menasihatkan pasangan yang mengambil keputusan untuk bercerai agar memikirkan semasak-masaknya.
“Perkahwinan adalah satu institusi yang amat berharga dan ia memerlukan pengorbanan, keikhlasan dan kesabaran kedua-dua pihak. Namun, jika perceraian adalah jalan yang terbaik, lakukanlah dengan cara yang paling baik, menjaga maruah dan harga diri masing-masing,” ujarnya.
ELAK BUKA AIB
Dalam masa sama, beliau menasihatkan agar pasangan suami isteri mengelak daripada menceritakan aib atau kekurangan masing-masing selepas berlaku perpisahan.
“Islam mengajarkan untuk melihat kebaikan dan mengingati jasa pasangan sepanjang perkahwinan. Ini kerana ketika cinta masih ada, segala kekurangan tidak dihiraukan namun ketika perasaan berubah, kekurangan yang kecil sekali pun menjadi hal yang diangkat-angkat.
“Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, setiap individu perlu memberi ruang untuk masing-masing memulakan kehidupan baharu dengan cara yang lebih baik, tanpa menyimpan dendam,” ujar beliau.
Tambahnya sangat penting untuk sentiasa menjaga hati anak-anak yang mungkin menjadi mangsa di atas perpisahan ibu bapa.
“Jangan sekali-kali mencederakan emosi kerana anak-anak mempunyai hak merasai kasih sayang ibu bapa. Anak-anak adalah amanah Allah dan kita wajib menjaga kebajikan mereka dengan penuh perhatian.
“Dalam menghadapi perpisahan, doa dan munajat kepada Allah adalah sandaran utama sebagai hamba-Nya. Berdoalah agar kita diberikan kekuatan, kesabaran dan petunjuk dalam melalui ujian ini,” ujarnya.
TIADA MANUSIA SEMPURNA
PERKAHWINAN adalah bentuk penyatuan dua hati yang sangat dituntut dalam Islam. Menerusi hubungan inilah lelaki dan wanita mula belajar untuk berkongsi kasih sayang, pandangan, idea dan seluruh kehidupan mereka yang dulunya hanya diketahui keluarga dan kenalan rapat.
Dalam membina hubungan suami isteri, banyak perkara perlu diteliti supaya sentiasa seimbang, mewujudkan toleransi dan berpegang kepada tanggungjawab.
“Cara pasangan menyelesaikan konflik hubungan adalah faktor utama menentukan kelangsungan perkahwinan mereka. Adalah baik untuk mendapatkan bantuan kaunseling sekiranya hubungan antara pasangan menemui jalan buntu.
“Bagaimanapun, perkara yang paling penting ialah penerimaan kekurangan pasangan kerana faktor kekurangan itu yang menjadi kunci agar mereka lebih peka, saling mengerti mahupun melengkapi satu sama lain,” ujarnya.
Beliau berkata penerimaan itu bukan bermaksud mengabaikan semua kelemahan dalam pasangan, tetapi menyedari tiada manusia yang sempurna di dunia ini.
“Pasangan muda wajar menghadiri kursus praperkahwinan dengan pasangan lebih tua sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum perkahwinan untuk membina persefahaman baik antara satu sama lain.
“Sekiranya pasangan bergelut untuk mengatasi perbezaan mereka ketika mengambil kursus praperkahwinan, mungkin mereka akan dinasihatkan membuat pertimbangan serius sama ada mereka perlu menyelesaikan perbezaan mereka dulu sebelum mengambil keputusan beralih ke fasa seterusnya (pertunangan atau perkahwinan),” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata peningkatan kesedaran mengenai pengurusan psikologi diri penting untuk bangkit dan bangun menjadi individu yang berupaya bertindak dengan baik dalam menguruskan tekanan. – WILAYAHKU