Fokus

Jaga pandangan cegah kerosakan moral

Gambar hiasan
- Diterbit 21 Jun 2024 11:30 AM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

DALAM Islam, menonton pornografi merupakan satu dosa besar kerana ia melibatkan perbuatan melihat aurat orang lain yang dilarang oleh syariat.

Menurut Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Undang-Undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Nik Suhaila Nik Hussin, hukuman berdasarkan prinsip menjaga kesucian dan kehormatan diri.

“Walaupun tidak ada hukuman spesifik yang ditetapkan dalam Al-Quran atau hadis untuk mereka menonton pornografi, hukuman ta’zir yang ditentukan oleh hakim syar’ie memainkan peranan penting dalam menangani kesalahan ini.

“Selain hukuman fizikal, Islam juga menekankan pentingnya taubat, pendidikan agama dan sokongan sosial dalam proses pemulihan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Islam sangat menekankan kepentingan menjaga pandangan sebagai sebahagian daripada menjaga kesucian diri dan moral sebagaimana yang disebutkan dalam Surah An-Nur, Ayat 30-31: Katakanlah kepada lelaki yang beriman agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

Dan katakanlah kepada wanita yang beriman agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya.

“Ia juga disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW: Pandangan (terlarang) adalah salah satu daripada panahan Iblis yang berbisa. Sesiapa yang meninggalkannya kerana takutkan Allah, akan Dia gantikan dengan kemanisan iman yang akan dirasainya dalam hatinya. (Riwayat al-Hakim)

“Dalil-dalil di atas menekankan pentingnya menjaga pandangan untuk memelihara moral dan etika, serta menghindari godaan yang boleh membawa kepada dosa. Dengan menjaga pandangan, ia dapat membantu menjaga kesejahteraan jiwa dan mencegah hati daripada terjerumus ke dalam perkara yang dilarang oleh Allah,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Nik Suhaila berkata menonton video lucah boleh membawa kepada ketidaksetiaan dalam perkahwinan, peningkatan kes perceraian dan masalah komunikasi antara pasangan seterusnya mengganggu keharmonian rumah tangga dan menyebabkan kesan negatif kepada anak-anak.

“Penggunaan pornografi juga boleh menyebabkan masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan dan ketagihan di mana boleh menjejaskan keupayaan individu untuk membentuk hubungan yang sihat dan memuaskan dalam kehidupan nyata kerana mereka mungkin mempunyai jangkaan yang tidak realistik tentang seks dan hubungan,” ujarnya.

Justeru itu, Nik Suhaila mengingatkan bahawa ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar dalam memberikan pendidikan seksual berasaskan Islam, memantau penggunaan media sosial, membangunkan komunikasi terbuka, menjadi model peranan yang baik dan banyak lagi.

Tambahnya, bagi mereka yang masih bergelut dengan ketagihan menonton pornografi, terdapat beberapa langkah yang boleh dilaksanakan bagi mengatasinya.

“Individu tersebut mestilah melakukan taubat nasuha serta meningkatkan keimanan, ibadah dan amal soleh, mencari sokongan profesional juga sosial, mengelakkan punca-punca godaan, mengalihkan perhatian dengan melakukan aktiviti positif seperti bersukan, hobi atau sukarelawan, mengamalkan puasa sunat dan lain-lain,” jelasnya.

Katanya, isu pornografi memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan pendidikan, kesedaran, penguatkuasaan undang-undang dan sokongan komuniti. Usaha bersama antara kerajaan, institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat adalah penting untuk menangani ancaman ini dalam memastikan moral serta akhlak masyarakat juga ummah terpelihara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas