AHLI Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP) terus prihatin dan peka dengan segala permasalahan yang dihadapi oleh penduduk setempat. Biarpun pelbagai rintangan serta cabaran yang dihadapi namun beliau tekad membantu penduduk mendapat kehidupan yang selesa.
Antara fokus Yang Berhormat (YB) adalah menyediakan bakul makanan bagi golongan kurang berkemampuan, pendidikan, menaik taraf infrastruktur dan sebagainya.
Malah sepanjang perkhidmatan segala masalah berjaya ditangani dengan solusi terbaik buat semua pihak terutamanya penduduk di kawasan tersebut.
Ikuti wawancara eksklusif YB Yeo Bee Yin bersama Wartawan Wilayahku, Syed Hazique bagi menceritakan segala cabaran sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Apakah kejayaan yang telah terlakar sepanjang menjadi wakil rakyat?
Setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Puchong pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang lalu, pelbagai inisiatif telah dilaksana oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Puchong bagi membantu rakyat di dalam Parlimen ini merentas pelbagai masalah dan hal berbangkit.
Antaranya, peluncuran Kiddo Foodbank. Inisiatif ini adalah bagi membantu menyelesaikan masalah bantut dan malnutrisi dalam kalangan anak-anak yang berumur enam tahun ke bawah.
Setakat ini, inisiatif tersebut telah memanfaatkan 149 orang penerima susu formula dan multivitamin setiap bulan.
Seterusnya, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Puchong sentiasa konsisten mengedarkan keperluan bakul makanan kepada rakyat yang memerlukan dan berpendapatan rendah.
Inisiatif ini telah memanfaatkan 5,000 rakyat di dalam Parlimen Puchong dan akan terus berlangsung bagi memastikan golongan miskin tegar dapat dibantu seperti mana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bidang pendidikan dan pembangunan modal insan sentiasa menjadi teras keutamaan saya selaku Ahli Parlimen.
Justeru itu, saya telah memastikan peruntukan pembangunan untuk Parlimen Puchong dimanfaatkan bagi disalurkan kepada seluruh sekolah di dalam Parlimen ini meliputi pembaikan dan menaik taraf infrastruktur di kawasan sekolah.
Ini penting bagi memastikan anak-anak di dalam Parlimen Puchong dapat menjalani proses pembelajaran dalam keadaan kondusif dan selesa.
Selain itu, bagi tujuan memastikan aktiviti pengimarahan rumah-rumah ibadat di dalam Parlimen Puchong, pejabat saya telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM480,470 dengan menggunakan peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) yang telah disalurkan oleh pihak kerajaan. Beberapa rumah ibadat telah menerima manfaat daripada inisiatif ini.
Apakah antara cabaran yang dihadapi YB bagi menguruskan kawasan?
Kawasan di Parlimen Puchong adalah kawasan yang merangkumi pelbagai latar belakang penduduk yang terdiri dari kawasan taman perumahan, kampung tradisi dan kampung baru.
Kita mendepani isu-isu tempatan seperti banjir kilat, jalan berlubang sehingga isu-isu nasional yang memerlukan perhatian seperti kewarganegaraan.
Semua ini adalah cabaran yang memerlukan perancangan dan penelitian yang tuntas bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dibangkitkan oleh penduduk dan rakyat di dalam Parlimen Puchong.
Namun, itu bukanlah alasan untuk saya tidak meneruskan khidmat saya selaku Ahli Parlimen di kawasan ini.
Rakyat telah memilih saya maka wajib untuk saya meletakkan setiap permasalahan rakyat ini sebagai keutamaan dan fokus menyelesaikannya.
Apakah fokus utama YB di dalam pembangunan kawasan?
Dari awal terpilihnya saya selaku wakil rakyat di kawasan ini, saya telah meletakkan hasrat untuk menjadikan Puchong sebagai bandar yang lengkap daripada pelbagai aspek.
Seperti saya sebutkan sebelum ini, isu-isu tempatan seperti banjir kilat, kesesakan lalu lintas, infrastruktur awam dan yang paling penting premis-premis awam seperti sekolah, klinik kesihatan, balai polis dan balai bomba sentiasa menjadi fokus saya selaku Ahli Parlimen.
Setiap pembangunan baru yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan kepadatan sekolah, klinik kesihatan dan kecapaian keselamatan seperti balai bomba dan balai polis dapat menampung kependudukan yang baru.
Justeru itu, saya telah meminta semua Ahli Majlis di dalam kawasan Parlimen Puchong untuk memastikan setiap pembangunan yang dicadangkan perlu disyaratkan kepentingan bagi memastikan premis-premis kerajaan ini kondusif untuk digunakan oleh rakyat.
Lambakan projek perumahan, kesesakan lalu lintas antara masalah utama yang dihadapi penduduk, apakah pendekatan atau jalan penyelesaian yang dibuat?
Lambakan projek perumahan dan pembangunan di sesuatu kawasan seperti Puchong yang berada di antara sempadan Sepang dan Kuala Lumpur pastinya menjadi tumpuan pemaju bagi membeli tanah-tanah di kawasan Puchong bagi dimajukan sebagai projek perumahan.
Justeru itu, pastinya Puchong tidak boleh terkecuali menghadapi masalah kesesakan lalu lintas akibat daripada pertambahan jumlah kepadatan penduduk yang bertambah tahun ke tahun.
Masalah ini bukanlah hanya dihadapi oleh Puchong, malah turut dihadapi oleh bandar-bandar utama yang lain di Malaysia.
Sehubungan dengan itu, pihak saya sentiasa mengingatkan kepada Ahli-Ahli Majlis di dalam Parlimen Puchong supaya sentiasa membawa permasalahan kesesakan lalu lintas ini semasa mempertimbangkan kelulusan pembangunan baharu di dalam Parlimen Puchong.
Pihak saya sendiri akan mendapatkan taklimat daripada Jabatan Perancangan Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dalam masa terdekat.
Apakah harapan YB bagi tahun ini dan di masa hadapan?
Sebagai Ahli Parlimen Puchong saya mengharapkan agar setiap inisiatif dan manfaat yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri dapat disalurkan kepada setiap lapisan masyarakat tidak kira warna kulit dan agama.
Saya turut berharap pembangunan yang rancak berlangsung diimbangi dengan kesejahteraan sosial masyarakat terutama golongan yang memerlukan seperti mereka yang dikenal pasti berada di dalam kelompok miskin tegar.
Dengan itu, keadilan sosial dapat ditegakkan dengan memberi hak kepada semua masyarakat dapat hidup dengan aman dan damai di dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti negara bertuah Malaysia. – WILAYAHKU