AHLI Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan masyarakat untuk menjadikan pencegahan kanser sebagai salah satu agenda utama dalam kehidupan seharian dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Beliau berkata kanser bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pesakit, tetapi ia turut memberi kesan negatif termasuk psikososial dan ekonomi kepada keluarga serta pembangunan ekonomi negara.
“Pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh,” katanya ketika merasmikan Program Saringan Kesihatan Kasih Madani di Kompleks Sukan Desa Tasik.
Wan Azizah berkata, Hari Kanser Sedunia diraikan setiap tahun pada 4 Februari dengan tujuan meningkatkan kesedaran serta mengajak orang ramai mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan membendung penyakit kanser yang kian meningkat
Katanya, di Malaysia, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar sebanyak 16.9 peratus (%) , kanser paru-paru 14.8% dan kanser prostat 8.1%.
“Dalam kalangan wanita pula, kanser payudara 33.9% dikuti dengan kanser kolorektal 10.7% dan kanser serviks 6.2%.
“Kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit-pesakit kanser setelah lima tahun disahkan menghidap kanser adalah 11.0% untuk kanser paru-paru, 51.1% kanser kolorektal, 51.6% kanser serviks, 66.8% dan 73.0% kanser payudara.
“Sebanyak 63.7% dari keseluruhan kanser dikesan pada tahap lewat (tahap III dan IV). Tahap kanser semasa penyakit ini dikesan menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup pesakit-pesakit kanser,” katanya.
Beliau juga mengingatkan masyarakat segera menemui doktor bagi mendapatkan nasihat dan pemeriksaan lanjut sekiranya mempunyai tanda dan gejala kanser.
“Dapatkan rawatan yang terbukti berkesan di hospital sekiranya disahkan menghidap kanser dan sentiasa patuh dengan jadual rawatan yang diberikan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Pejabat Kesihatan Cheras dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Subzon 5, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan KOSPEN Kamara atas penganjuran program.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua rakan strategik dan semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam menjayakan majlis ini.
“Saya yakin, program yang dilakukan pada hari ini akan dapat memberikan manfaat untuk kesihatan dan kesejahteraan semua,” katanya. – WILAYAHKU