Biz

Jadikan kritikan penguat semangat

ROSINAH menghasilkan kuih bahulu di bengkelnya yang terletak di Kampung Lajau, Labuan
- Diterbit 27 September 2024 5:23 PM MYT

BERMODALKAN RM5,000 untuk menjual kuih tradisional bahulu 17 tahun lalu, kini pendapatan Rosinah Jahar, 58, bukan lagi sekadar cukup makan tetapi mampu hidup senang dalam meniti usia emasnya.

Kongsinya, di awal penglibatannya dalam perniagaan, bahulu yang dihasilkan tidak mendapat sambutan namun dia tetap tidak berputus asa kerana itu satu-satunya sumber pendapatan untuk membantu suami menyara keluarga.

“Dahulu, saya terima pelbagai kritikan terhadap bahulu yang saya hasilkan. Mungkin ketika itu banyak persaingan lebih-lebih lagi saya baru sahaja berjinak-jinak dalam perusahaan itu.

“Namun saya anggap segala kritikan itu sebagai penguat semangat untuk berusaha menghasilkan bahulu yang berkualiti dan sedap sekali gus  menepati cita rasa pelanggan.

“Dari situ jugalah saya mula aktif mengikuti pelbagai kursus dan bengkel yang dianjurkan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan sebagainya untuk menambah ilmu dalam pembuatan kuih.

“Saya tidak nafikan, dalam bidang makanan ini memerlukan usaha dan kerja keras agar kita tidak ketinggalan selain perlu bijak menginovasikan produk,” ujarnya yang turut dibantu suami dan menantu.

Rosinah kini sudahpun memiliki bengkel operasi yang terletak di Kampung Lajau, Simpang 4. Selain bahulu yang diusahakan menjadi pilihan penduduk pulau dia mampu menghasilkan kira-kira 1,000 hingga 7,000 biji bahulu dalam satu-satu masa.

Bercerita lanjut, pemilik Myjai Enterprise ini berkata dia kini mempunyai tiga ketuhar dan mesin sekali gus mampu mengambil lebih banyak tempahan daripada pelanggan antaranya dari agensi kerajaan dan swasta.

Malah, Rosinah turut mengharapkan pihak berkaitan tampil membantunya untuk melebarkan lagi perusahaan kuih tradisional yang diusahakan.

Dalam masa yang sama, dia mengalu-alukan golongan muda yang berminat untuk mempelajari cara pembuatan bahulu untuk mempelajarinya kerana ia mampu memberikan peluang yang lumayan.

“Ke mana sahaja kita pergi, kuih bahulu tidak asing lagi, jadi saya kira ia boleh dijadikan sumber pendapatan utama sesiapa sahaja. Cumanya jangan cepat berputus asa.

“Segelintir golongan muda cepat menyerah jika gagal ketika mencuba buat pertama kali. Ramai yang saya jumpa begitu, mereka mahu laluan yang mudah sahaja. Tak mahu bersusah payah, jika gagal terus putus asa,” ujarnya.

Mengorak langkah ke hadapan, dia berkata dalam perusahaan makanan terutamanya kuih kering perlu sentiasa menginovasikan produk agar tidak ketinggalan.

“Ketika ini, kami mempunyai lima jenis perisa bahulu seperti pandan, coklat dan Insya-Allah akan bertambah lagi dalam masa terdekat. Antara perisa yang menjadi pilihan adalah pandan.

“Keistimewaan bahulu yang kita hasilkan terletak pada tekstur kuih itu yang sedikit kenyal serta tidak rapuh biarpun menggunakan peralatan moden,” ujarnya yang turut menghasilkan kuih maruku. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas