KU SEMAN KU HUSSAN
Wartawan Bebas
PENGGIAT seni pop mampu menjadikan bidang yang digelumangi itu sebagai kerjaya. Mereka boleh menampung keperluan hidup dengan bidang seninya. Penyanyi, pelakon dan pemuzik misalnya dijadikan kerjaya yang memberikan pendapatan tinggi.
Bagaimana pula dengan penggiat seni tradisi? Ternyata belum ada dalam kalangan penggiat itu yang boleh hidup dengan kegiatan seninya. Sekalipun diangkat ke tahap tertinggi sebagai Seniman Negara, mereka perlu membuat kerja lain untuk menyara keluarga.
Malah banyak yang mencapai tahap adiguru dalam bidang yang dikuasai mereka. Sekalipun begitu masih tidak mampu menjadikan bidang seni itu sebagai satu kerjaya. Boleh bergiat secara sepenuh masa terhadap kegiatan seninya.
Saya fikir Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang dikenali di dunia boleh memulakan langkah menjadikan penggiat seni tradisi sebagai satu kerjaya. Wujudkan jawatan yang bergaji tetap dan bidang tugasnya adalah membuat persembahan kesenian tradisi.
Tujuannya adalah serampang dua mata – memberi nilai ekonomi kepada penggiat dan melestarikan kesenian tradisi terutama di Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur yang sepatutnya penuh dengan persembahan kesenian tradisi yang berkala – seminggu sekali misalnya di beberapa premis sekitar bandar raya. Pelancong yang berhasrat menonton dikir barat, makyung atau bangsawan boleh menyaksikannya di Kuala Lumpur.
Saya fikir masalah premis tidak timbul sama sekali. Di Kuala Lumpur ada Panggung Bandaraya, tiga ruang persembahan di MATIC dan satu ruang sederhana di Istana Budaya.
Ketika ini hampir semua ruang itu sepi kerana tidak ada persembahan. Kalau ada pun hanya sekali sekala. Tentu sangat munasabah kalau semua premis itu dijadikan tempat persembahan kesenian tradisi.
Jadual persembahan, premis dan genre seninya boleh dimasukkan dalam kalendar untuk rujukan agensi pelancongan. Ini penting untuk agensi pelancong menguar-uarkan kepada pelancong.
Belanja persembahan termasuk gaji bulanan penggiat seni tidak semestinya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Program itu boleh sahaja diadakan secara usaha sama atau ditaja oleh syarikat korporat. Memang tidak memberi keuntungan material akan tetapi lebih merupakan satu tanggungjawab sosial.
Penggiat seni perlu diberi gred gaji yang munasabah untuk membolehkan mereka hidup sebagai penggiat seni sepenuh masa. Kita mempunyai banyak penggiat seni yang menjadi rujukan dunia.
Malah ada yang diangkat sebagai Tokoh Orang Hidup oleh Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Bagaimanapun agak malang apabila pengalaman dan ilmu yang dimiliki tidak dimanfaatkan dalam konteks melestarikan seni tradisi. Oleh sebab itu tidak menghairankan kalau penggiat itu terpaksa berkerja lain – menjadi nelayan, pesawah atau penoreh getah untuk menyara keluarga.
Kita pernah mempunyai pakar dan adiguru kesenian tradisi yang hebat. Antaranya Allahyarham Hamzah Awang Amat tokoh dalam seni wayang kulit, Allahyarham Wan Su Othman (pengukir), Allahyarham Khatijah Awang (makyung) dan Allahyarham Rahman B (bangsawan).
Tidak sekadar penggiat, mereka itu juga dianugerahkan gelaran tertinggi sebagai Seniman Negara oleh kerajaan, bertaraf adiguru atau pakar dalam bidang masing-masing.
Ironinya mereka tidak boleh hidup dengan kesenian yang sebati di jiwa. Mewujudkan Anugerah Seniman Negara memang baik. Begitu juga dengan sekian banyak anugerah lain sama ada di peringkat negeri atau negara.
Bagaimanapun dalam konteks pemindahan kearifan seni tradisi, anugerah sahaja tidak memadai. Malah harus dibezakan antara usaha menghargai dan melestarikan seni tradisi. Hal ini kerana penggiat seni tradisi juga perlu hidup dan menyara keluarga.
Disebabkan tidak boleh hidup sebagai penggiat sepenuh masa, mereka terpaksalah membuat kerja lain yang tidak ada kaitan dengan seni. Itu satu yang sangat merugikan. Seni tradisi yang sudah menjadi sebati dengan jiwa itu terpaksa dilakukan secara sambilan.
Ini realitinya dan secara tidak langsung meletakkan seni tradisi di takah kedua, ketiga dan seterusnya. Banyak orang berminat dan boleh melibatkan diri dalam seni tradisi. Bagaimanapun mereka perlu realistik yang bidang itu tidak dapat menampung keperluan hidup.
Apabila melihat penggiat seni tradisi seperti pengukir, tok dalang, pemuzik tradisi terpaksa membuat kerja lain untuk menanggung hidup, hal itu adalah suatu yang agak pelik. Padahal di Kuala Lumpur terus kering-kontang persembahan kesenian tradisi.
Cara memelihara dan memanfaatkan mereka dengan menjadikan penggiat seni sebagai kerjaya sepenuh masa. Setakat ini hanya Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) yang melantik tokoh-tokoh ini sebagai pensyarah atau jurutunjuk seni budaya.
Menjadikan penggiat itu sebagai satu kerjaya tetap tentulah memerlukan peruntukan kewangan yang khusus. Sekalipun begitu perkara itu tidak semestinya membebankan kerajaan. Boleh diusahakan dengan melibatkan pihak syarikat korporat sebagai penaja.
Pihak korporat pula perlu ada iltizam memikul tanggungjawab sosial membantu kerajaan melestarikan kesenian tradisi. Malah pada masa yang sama membentuk wajah dan karakter sosial Kuala Lumpur dengan mendokong kesenian tradisi di mata dunia.
Di Kuala Lumpur misalnya, sejak lama dulu tidak ada pun program yang bercorak seni dan budaya yang diadakan secara berkala. Sepatutnya Kuala Lumpur yang bertaraf kota metropolitan mempunyai program sedemikian, bukan sahaja untuk pelancong tetapi juga kepada khalayak tempatan.
Ekosistem program seperti itu sudah tersedia dengan jumlah penggiat seni tradisi yang ada di seluruh negara. Mereka boleh dimanfaatkan untuk dijadikan seniman sepenuh masa. Kuala Lumpur harus menjadi pemula – mewujudkan penggiat seni tradisi yang bergaji tetap.
Premis di mana persembahan kesenian tradisi ini diadakan perlu dijadikan lokasi ‘wajib lawat’ oleh pihak berkuasa kepada agensi yang membawa pelancong luar melawat Kuala Lumpur.
Mereka mesti membawa pelancong menyaksikan persembahan kesenian tradisi dengan bayaran tiket yang munasabah. Malah agensi pelancongan boleh memasukkan harga tiket dalam pakej melancong ke Kuala Lumpur.
Kalau boleh melawat tokong lama yang tidak jauh Stadium Negara atau Dataran Merdeka, tentulah membawa pelancong menyaksikan kesenian tradisi tidak membebankan agensi pelancongan.
Malah lebih menggembirakan kerana ada nilai tambah untuk ditawarkan kepada pelancong. Tidaklah hanya menawarkan lawatan melihat tiang bendera di Dataran Merdeka atau menara kembar yang pernah tertinggi di dunia.
Sebenarnya tidak semua perancangan menjadi terhenti atau tergendala disebabkan oleh faktor kewangan. Banyak juga disebabkan faktor lain seperti tidak mempunyai apresiasi dan iltizam yang tinggi.
Hanya iltizam yang tinggi sahaja yang membolehkan semua masalah termasuk kewangan diatasi dengan baik. Kalau ada peruntukan yang banyak sekalipun tanpa iltizam, tidak ada ke mana juga.