PENINGKATAN gaji penjawat awam diyakini akan dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Demikian ditegaskan Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng yang melihat pertumbuhan ekonomi itu memfokus kepada penambahan kuasa beli rakyat selain permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.
“Semuanya ini akan memberi kesan positif termasuk kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama dalam sektor runcit dan perkhidmatan,” katanya.
Menurut William, pelarasan gaji penjawat awam itu selari dengan inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) iaitu mereformasikan pasaran buruh swasta.
Beliau memberitahu bahawa apabila berlaku kenaikan gaji sektor awam, langkah tersebut dilihat dapat meningkatkan produktiviti negara.
Pihaknya percaya sektor swasta termasuk PKS akan mengikuti momentum berkenaan dan menaikkan gaji pekerja mereka.
“Oleh, itu kami berharap kerajaan akan membuat pemantauan sewajarnya terhadap sebarang lonjakan produktiviti ekoran peningkatan gaji.
“Hal demikian kerana perkara itu akan menjadi pemangkin kepada reformasi gaji di sektor swasta,” katanya.
Terdahulu, Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Disember lalu.
Ia menyaksikan kumpulan pelaksana menikmati pelarasan gaji tertinggi sehingga 42.7 peratus manakala tujuh peratus bagi kumpulan pengurusan tertinggi. – WILAYAHKU