SELEBRITI serba boleh Izzue Islam seolah-olah melupakan dunia lakonan seketika apabila dilihat aktif mengacara.
Terbaharu, Izzue Islam atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan,33, menjadi pengacara untuk rancangan televisyen I Can See Your Voice, Suara Sapa Tu dan Muzik-Muzik 38.
Selain menjadi pengacara televisyen, Izzue juga ‘laris’ dijemput sebagai hos acara-acara besar. Dia juga turut menjadi hos untuk Anugerah TikTok bersama Sherry Al-Hadad dan Amelia Handerson yang disiarkan secara langsung di TV3, baru-baru ini.
“Tak dinafikan, sejak akhir-akhir ini saya terima banyak tawaran jadi pengacara televisyen dan hos untuk acara. Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang ini tak pernah putus.
“Cuma saya nak minta maaf ada beberapa tawaran saya tolak kerana terikat dengan job mengacara yang telah dipersetujui awal. Bukan cerewet, tetapi saya tak mahu terkejar sana sini, akhirnya tiada kualiti.
“Dalam pengacaraan, selain baca skrip yang diberikan, saya perlu banyak buat research dan membaca kerana ia secara spontan. Pendek kata, perlu ada ilmu,” katanya.
Dalam pada itu, Izzue juga menolak jika ada pihak yang menganggap dia sudah melupakan dunia lakonan yang merupakan ‘darah dagingnya’.
“Di situlah saya bermula sebagai anak seni yang mengajar saya erti kehidupan. Daripada lakonan, saya jadi penyanyi dan sekarang pengacara.
“Mana mungkin saya boleh lupakan, tidak sama sekali. Cuma, saya banyak komitmen dalam pengacaraan sekarang.
“Kalau saya selitkan juga lakonan, saya bimbang ia memberi kesan kepada krew-krew lain yang terlibat. Lebih baik saya fokus satu persatu,” ujarnya. – WILAYAHKU