ISU penempatan Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman di atas sebahagian kecil tanah milik swasta berhampiran Jalan Masjid India selesai secara harmoni selepas kerajaan menawarkan tapak baharu hanya 50 meter dari lokasi asal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, berkata keputusan itu dicapai hasil rundingan bersama pihak pengurusan kuil dan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan penyelesaian yang adil dan menghormati hak kebebasan beragama seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan telah mengenal pasti tapak baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi di Lot PT 95, Seksyen 40, Mukim Bandar Kuala Lumpur, yang bersesuaian dengan keperluan kuil.
“Tapak ini terletak hanya 50 meter dari lokasi asal bagi memastikan kemudahan dan akses yang lebih baik kepada penganut,” katanya dalam siding media di Menara DBKL hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Seri Noridah Abdul Rahim, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Turut hadir, Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri Saravanan, Ahli Parlimen Batu, Prabakaran Parameswaran dan Jawatankuasa Kuil.
Beliau turut memberi jaminan bahawa tiada sebarang tindakan perobohan akan dilakukan terhadap struktur kuil sedia ada, dan ia dibenarkan beroperasi seperti biasa sehingga proses penempatan semula selesai sepenuhnya.
Zaliha menegaskan bahawa penyelesaian ini adalah khusus bagi kes berkenaan dan tidak boleh dijadikan rujukan bagi kes rumah ibadat lain.
Katanya, setiap isu melibatkan rumah ibadat akan dinilai secara individu berdasarkan garis panduan, kedudukan tanah dan peraturan yang berkuat kuasa.
“Kerajaan menyeru semua pihak agar tidak memanipulasi isu ini dengan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan. Sebaliknya, marilah kita bersama-sama memelihara keharmonian dan keamanan yang telah sekian lama menjadi asas kekuatan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa pembinaan rumah ibadat baharu perlu mematuhi semua garis panduan serta peraturan sedia ada bagi memastikan ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat di Wilayah Persekutuan. -WILAYAHKU