SEMAKIN hari semakin banyak kes atau isu negatif seperti pembunuhan, curang dan buli siber yang dilihat semakin menjadi-jadi.
Susulan itu, baru-baru ini kecoh dalam media sosial apabila terdapat orang awam yang anxiety disebabkan isu tersebut hingga membuatkan mereka berasa tidak selamat.
Memandangkan isu-isu sebegini sentiasa menjadi perbuatan, apakah cara untuk menghadapinya?
Wartawan Wilayahku, DEEL ANJER mengulas lanjut perihal tersebut bersama selebriti Wanna Ali, Niezam Zaidi dan Faiz Subri.
Abaikan kritikan
PEMAIN bola sepak terkenal yang juga pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri memahami situasi atlet sukan Olimpik baru-baru yang diuji dengan pelbagai kecaman.
Bagi Faiz, sudah menjadi trend dan budaya apabila terdapat masyarakat suka membuli atlet di alam siber dan melihat perkara tersebut mengganggu mental yang akhirnya boleh menyebabkan serangan panik.
“Saya faham situasi atlet Malaysia yang bertanding di Sukan Olimpik. Sudahlah mereka membawa amanah yang berat, dikecam pula tu.
“Bukan mudah sebab kecaman ini memerlukan mental yang kuat. Silap hari bulan, boleh menyebabkan berlakunya serangan panik kerana terkesan dengan kecaman negatif.
“Bagi saya, kecaman daripada netizen itu memang tidak patut, tetapi itu perkara biasa sekarang. Tak boleh nak lari. Saya pun biasa kena. Jadi buat tak tahu saja apabila dikecam,” ujarnya.
Faiz turut berpesan kepada atlet yang dikecam untuk mengelakkan daripada terlalu memikirkan apa yang diperkatakan netizen.
“Abaikan saja. Teruskan fikir yang positif. Jangan sampai memberi kesan buruk seperti murung atau panic attack.
“Tolonglah jaga komen di laman sosial, kecaman boleh menyebabkan situasi serius yang membawa kepada penyakit mental.
“Kita nak halang netizen berkata memang tak boleh. Mereka bukannya kisah apa akan terjadi kepada atlet itu disebabkan kecaman mereka.
“Macam inilah, kecaman negatif tolak tepi ambil komen yang positif dan memberi semangat untuk perbaiki kelemahan diri.
“Sebagai pemain bola sepak dugaannya pun teruk juga, banyak kritikan yang dilemparkan. Jujur cakap, saya baca apa yang netizen komen memanglah stres. Yang positif saya ambil untuk jadikan semangat.
“Kalau komen mengarut atau maki-hamun tu, biarkan sahaja mereka. Tak payah respons apa-apa,” tambahnya.
Elak bersentuhan
TIDAK mahu terpalit dengan isu curang yang semakin berleluasa, pelakon jelita, Wanna Ali mengambil pendekatan untuk sentiasa menghormati dan menjaga batas apabila menjayakan sesebuah karya dengan pelakon yang berstatus suami orang.
Terbaharu, lakonan Wanna bersama Fattah Amin menerusi drama Lelaki Melayu Terakhir menerima maklum balas positif apabila dikatakan berjaya menghidupkan babak romantis walaupun tiada babak bersentuhan keterlaluan.
“Sebagai pelakon saya enggan melukakan hati sesiapa dan sedar diri apabila berlakon dengan suami orang.
“Kalau ada babak bersentuhan kami pasti berlapik. Saya pun tidak minta artis lelaki untuk pegang tangan kerana saya perlu menghormati statusnya sebagai suami orang.
“Apabila berlakon dengan suami orang tak boleh ada babak bersentuhan, jadi saya sangat menghormati dia, isteri dan prinsipnya,” ujarnya.
Bagaimanapun pelakon berusia 27 tahun ini bersyukur penonton boleh merasai kemesraan yang dilakonkan bersama pasangan dalam drama biarpun tidak bersentuhan.
“Sebelum drama terbabit mula ditayangkan di slot Akasia TV3, saya dan Fattah berdebar menantikan maklum balas penonton.
“Alhamdulillah, drama ini diterima baik oleh semua lapisan penonton yang rata-ratanya memberi maklum balas positif,” ujarnya.
Jaga hubungan dengan maha Esa
PELAKON popular, Niezam Zaidi sentiasa menganggap dugaan dan cabaran membuatkan hidupnya lebih indah.
Pernah dikecam kerana terpalit dengan isu penyalahgunaan dadah, Niezam tidak pernah melatah malah sentiasa bersikap positif.
Bagi Niezam, apa yang berlaku dijadikan pengajaran dan terus mendekatkan diri kepada Allah agar beroleh ketenangan.
Niezam berkata hanya kembali kepada Allah hidup lebih bahagia serta terhindar daripada stres dan anxiety akibat kecaman.
Menurut pemilik nama sebenar Mohd Niezam Mohd Zaidi ini, dia juga memandang sisi positif terhadap kerjaya lakonannya dan akur sekiranya nama kena banned oleh stesen televisyen atas kesalahan dilakukan itu.
“Saya okey saja sebab itu hak mereka asalkan Allah tak banned saya sebab hubungan dengan Allah yang paling utama.
“Dunia ini adalah pinjaman sementara, sampai masa kita kembali pada Allah juga. Saya cuma harapkan yang baik dan atas sebab itu semua berlaku saya jadikan sebagai pengajaran hidup.
“Dengan kembali kepada Allah, maka semangat kita menjadi kuat, jiwa lebih tenteram. Apabila kita berserah kepada Allah, maka kita boleh elak stres melampau dan kebimbangan akan sesuatu perkara,” katanya.
Sebelum ini, Niezam bersama dua individu lain iaitu seorang pengarah filem dan penolong pengarah mengaku bersalah memiliki barangan terlarang selepas ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah inap desa di Kuala Kangsar, Perak.
Pada 10 Januari 2022, Niezam didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak dan perlu menjalani pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.
Ditanya pula kesediaannya bekerjasama dengan produksi lama yang terkait kejadian hitam itu, Niezam berkata dia tidak bersikap terlalu memilih, namun terbuka sekiranya projek lakonan ditawarkan sesuai.
“Sebagai pelakon yang mencari rezeki dalam karier seni, saya terbuka bekerja dengan sesiapa saja (produksi). Ini kerana, kalau tidak terbuka maknanya saya tak lagi reda.
“Begitu juga kepada pihak produksi lama itu. Sebenarnya, mereka (produksi terbabit) ada beri saya tawaran berlakon, tapi tak tahu jadi atau tidak. Saya okey saja nak terima jika watak itu sesuai,” katanya.
Mengaku kini sudah bangkit semula, Niezam berkata individu penting yang banyak memberi semangat dan sentiasa berada di belakangnya dalam susah dan senang tanpa jemu adalah bapa tersayang, Mohd Zaidi Othman, 66. – WILAYAHKU