Berita

Isu kesihatan dipandang serius

DZULKEFLY menegaskan Malaysia tidak akan mengalami kekurangan ubat-ubatan yang diperlukan oleh rakyat.
- Diterbit 13 Disember 2024 4:40 PM MYT

BARU-BARU ini kecoh di laman media sosial apabila ada pihak mendakwa beberapa jenis ubat-ubatan yang diperlukan di hospital kerajaan tidak mencukupi.

Bertambah buruk apabila mereka mendakwa terpaksa mendapatkan ubat berkenaan di farmasi-farmasi swasta dengan harga yang mahal.

Susulan itu ramai mendakwa kerajaan tidak cakna terhadap beban ditanggung rakyat di sebalik kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Namun begitu kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memandang serius mengenai isu kesihatan rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementerian bersedia menawarkan kontrak tambahan untuk perolehan farmaseutikal pada awal tahun depan bagi memastikan kestabilan bekalan ubat di negara ini, khususnya insulin.

Beliau berkata langkah itu susulan gangguan bekalan insulin pada Ogos lalu yang mendorong kementerian mengambil tindakan segera bagi memastikan pesakit mendapat akses kepada ubat tersebut.

“Kita sudah ada nama beberapa syarikat dalam perancangan dan kini di peringkat akhir untuk pemberian lesen. Ia syarikat biasa yang sudah dikenali ramai dan mereka komited untuk melabur dalam membangunkan insulin,” katanya kepada pemberita selepas Minggu Kesedaran Antimikrod Sedunia 2024 baru-baru ini.

Beliau memberi jaminan Malaysia tidak akan mengalami kekurangan insulin manusia seperti gangguan pada Ogos lalu.

Terdahulu, beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa pihak kementerian tidak lagi mengizinkan kontrak perolehan farmaseutikal hanya kepada satu syarikat bagi memastikan bekalan ubat yang selamat dan stabil di negara ini.

“Pengalaman yang berlaku pada Ogos lepas memberikan banyak pengajaran penting khususnya apabila timbul situasi kekurangan bekalan insulin.

“Walaupun tiada kes yang terbukti pesakit pulang tanpa bekalan, situasi ini memerlukan langkah pantas bagi memastikan bekalan tetap mencukupi. Langkah awal yang diambil termasuk memindahkan bekalan antara klinik berdekatan.

“Sebagai contoh, jika klinik A kehabisan bekalan, ia boleh mendapatkan stok di klinik B, C, atau D. Pendekatan ini memastikan kesinambungan bekalan kepada pesakit tanpa gangguan. Keupayaan untuk bertindak pantas ini mengelakkan sebarang impak besar kepada pesakit,” katanya.

Namun begitu katanya pengalaman tersebut memberi amaran tentang risiko kebergantungan kepada satu sumber sahaja.

“Dalam situasi ini pembekal tunggal Biocon menghadapi kegagalan membekalkan insulin. Ia hampir mencetuskan krisis bekalan.

“Sebagai langkah ke hadapan, pendekatan yang lebih mampan adalah memastikan kepelbagaian sumber bekalan bagi ubat-ubatan penting seperti insulin manusia. Ini bermakna kontrak atau tender tidak lagi diberikan kepada satu pembekal,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas