RAKYAT Malaysia yang menetap atau melawat Korea Selatan dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengikuti panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Menurut Wisma Putra, situasi di Korea Selatan kembali normal selepas undang-undang tentera ditarik balik di seluruh negara.
Biarpun begitu tegasnya, rakyat Malaysia di Korea Selatan dinasihatkan untuk mendaftar melalui E-Konsular.
“Kementerian Luar Negeri akan terus memantau keadaan di Korea Selatan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Wisma Putra menambah, bagi mereka yang memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Malaysia di Seoul boleh dihubungi di talian +82-2-2077 8600 atau +82-2-794 5488, atau menerusi e-mel [email protected].
Terdahulu Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengumumkan penamatan undang-undang tentera selepas Dewan Negara meluluskan usul bagi menuntut penamatannya.
Ketua Turus Bersama mengesahkan bahawa pasukan yang dikerahkan untuk melaksanakan undang-undang tentera telah kembali ke pangkalan masing-masing, memulihkan keadaan seperti sediakala. – WILAYAHKU