AHLI Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani memaklumkan akan mengadakan satu sidang akhbar khas berhubung isu Kampung Sungai Baru pada minggu hadapan.
Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi itu sidang akhbar tersebut bertujuan untuk menjelaskan mengenai isu sebenar pembangunan kampung berkenaan.
“Sejak dari awal lagi saya sudah melarang penduduk Kampung Sungai Baru menandatangani perjanjian berkenaan.
“Mengenai isu Kampung Sungai Baru, satu sidang akhbar khas akan saya adakan minggu hadapan kerana badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang datang ke sini (Kampung Sungai Baru) tidak memahami isu sebenar.
“Malah sejak penggal pertama saya menjadi wakil rakyat, saya sudah pesan untuk mereka tidak tandatangan tetapi mereka tetap tandatangan.
“Oleh demikian, saya akan jelaskan isu ini dari mula hingga akhir,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Perkarangan Pintu Gerbang Kampung Baru hari ini.

Lebih 20,000 pengunjung yang hadir disajikan pelbagai hidangan termasuk mee kuali besar, kambing golek, nasi daging salai, sate, laksa dan beberapa menu lain.
Johari turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir. Majlis yang berlangsung dari pukul 11 pagi hingga 3 petang itu juga bertujuan mengukuhkan lagi semangat ukhuwah dan kasih sayang sesama insan.
Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran artis seperti Hael Husaini, Dayang Nurfaizah dan Nabila Razali. – WILAYAHKU