MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa yakin isu melibatkan penduduk Kampung Setia Jaya dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dapat diselesaikan dengan baik.
Kata Zaliha, beliau menyifatkan perbincangan antara pihak berkepentingan mengenai isu berkenaan positif dan yakin bahawa isu ini dapat diselesaikan dengan baik setelah tertangguh selama lebih 30 tahun.
“Berdasarkan hasil perbincangan tersebut, pihak TAR Education Foundation secara prinsipnya tiada halangan untuk membenarkan penduduk untuk terus berada di Kampung Setia Jaya sementara isu penempatan penduduk diselesaikan.
“Perbincangan turut memberi fokus kepada isu penggantian rumah kepada penduduk dengan solusi yang terbaik yang akan diperincikan dengan lebih lanjut. Perbincangan susulan akan diadakan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan seberapa segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Zaliha telah mengadakan perjumpaan bersama wakil dari TAR Education Foundation yang diwakili oleh Tan Sri Lim Keng Cheng dan Datuk Seri Yew Teong Look untuk rundingan isu tanah di Kampung Setia Jaya di Putrajaya.
Perjumpaan ini turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, dan Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin. – WILAYAHKU