Berita

Isu kafir: Tidak adil terus menghukum tanpa lihat kepada konteks keseluruhan – Mufti Wilayah Persekutuan

- Diterbit 1 April 2024 12:04 PM MYT

MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah menasihatkan kepada masyarakat untuk mengambil sikap berhati-hati dan cuba mendapat maklumat yang lebih terperinci sebelum membuat sebarang komen khususnya melibatkan istilah dan perkara berkaitan Islam.

Katanya, merujuk kepada video yang tular, adalah tidak adil untuk terus menghukum dan mengeji berasaskan kepada potongan video tanpa melihat kepada konteks keseluruhan yang dimaksudkan dalam ucapan berkenaan

“Masyarakat perlu mengambil sikap berhati-hati dan cuba mendapat maklumat yang lebih terperinci sebelum membuat sebarang komen. Rasulullah SAW bersabda, ‘Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.(Riwayat Muslim)” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai polemik istilah kafir menerusi hantaran di Facebook Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.

Menurut Luqman, gelaran kafir merupakan kalimah dalam bahasa arab dan banyak kali disebut dalam al-Quran dan hadis dengan pelbagai pecahan kata seperti الكافرون, الذين كفروا, يكفرون dan sebagainya sebanyak lebih kurang 310 tempat.

“Ia adalah merujuk kepada orang yang tidak beriman kepada Allah SWT dan Rasul. Oleh itu, penggunaan istilah ini telah termaktub dalam al-Quran dan hadis.

“Ia adalah istilah yang melambangkan perbezaan antara iman dan kekufuran dan ia tidak berubah penggunaannya,” katanya.

Menjelas lanjut, Luqman berkata penggunaan dalam konteks interaksi antara orang Islam dan bukan Islam boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan situasi yang memerlukan kepada istilah yang lebih harmoni khususnya dalam uslub dakwah.

“Dalam al-Quran, terdapat banyak juga ayat yang menggunakan lafaz begini yang bermaksud “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaranNya?”(Surah Ali Imran : 70) ” katanya.

Tegas Luqman, polemik yang berpanjangan tanpa mempunyai nilai ilmiah dan adab yang baik akan menambahkan lagi kekeliruan dalam masyarakat dan boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

“Sikap sindir-menyindir, mengeluarkan kata-kata kesat, tuduh-menuduh dengan menggunakan media sosial tanpa adab tidak menguntungkan umat Islam yang sangat mementingkan perpaduan sebagai kekuatan umat.

“Dalam isu yang melibatkan keagamaan, semua pihak perlu berhati-hati dan tidak mudah mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham masyarakat dan membuka ruang fitnah.

“Penggunaan istilah-istilah hukum hakam agama tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk tujuan kepentingan tertentu yang tidak berasaskan kepada asas ilmu Islam yang sebenar,” katanya.

Sehubungan itu, Luqman menasihatkan masyarakat untuk lebih menumpukan kepada ibadah dan tidak menimbulkan banyak polemik yang berpanjangan yang membawa kepada natijah yang tidak baik kepada keharmonian masyarakat.

“Sebarang perbezaan pandangan boleh dikongsikan dengan cara yang baik dan tidak dalam bentuk kejian dan fitnah seperti firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Hujarat ayat ke-11, “Dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman.” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas