PERSATUAN Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) mendesak Kerajaan MADANI mengambil tindakan serius terhadap akhbar Sin Chew Daily yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap dan tertinggal bulan sabit dalam muka depan akhbar tersebut keluaran 15 April lalu.
Presiden PEMUISI, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata kerajaan perlu membawa kes itu ke mahkamah supaya hukuman tegas dikenakan sebagai pengajaran, dan tidak cukup dengan hanya meminta maaf.
“Tindakan yang tidak bertanggungjawab itu jelas melanggar Akta Lambang (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301]. Kami amat terkejut dan kecewa dengan tindakan akhbar Sin Chew Daily itu,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.
Tegasnya, Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan dan identiti nasional yang tidak boleh dipermainkan.
“Bulan sabit yang ada dalam bendera negara kita adalah merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“PEMUISI sebagai badan bukan kerajaan sastera seni dan budaya peringkat nasional, memandang serius hal ini dan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang melanggar apa-apa peraturan dan undang-undang yang sedia ada, serta apa jua tindakan yang cuba mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara,” katanya. – WILAYAHKU