TINDAKAN kerajaan dan polis perangi habis-habisan sebuah organisasi agar tidak menunggang agama untuk kepentingan tertentu seperti yang didakwa baru-baru ini adalah tepat pada masanya, kata seorang akademik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.
Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan daripada Universiti Malaya (UM) berkata tindakan polis itu bagi memastikan mana-mana kumpulan tidak berjaya memecah belahkan masyarakat, menghasut dan merosakkan keharmonian sedia ada apatah lagi mereka yang jelas memesongkan ajaran agama yang sesat
Mengulas lanjut, Tawfik berkata beliau melihat pemimpin-pemimpin kumpulan tersebut perlu dikenakan dakwaan yang tegas kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kerana masih mengulangi penyebaran ajaran sesat.
Mohd Tawfik turut menggesa kerajaan klasifikasikan kumpulan tersebut sebagai ekstremis sebagaimana Al Maunah dan Jemaah Islamiah.
“Sudah sampai tahap ekstremis kerana mengancam keselamatan Islam, keamanan masyarakat dan negara apabila tidak patuh pada fatwa serta undang-undang yang pernah digunakan terhadap ‘ibu ideologi’ mereka iaitu Al-Arqam sebelum ini.
“Saya memuji kepimpinan polis yang diterajui Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kerana membanteras ‘barah’ bahaya ini habis-habisan sehingga ke peringkat akar umbi.
“Keseriusan polis ini dapat dilihat apabila Ketua Polis Negara sendiri mengepalai operasi peringkat tertinggi untuk memastikan organisasi ini lumpuh sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Profesor Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah yang merupakan Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata isu yang sedang ‘panas’ ini adalah satu kes yang kompleks.
Beliau berkata ini kerana melibatkan isu jenayah, korporat, Jenayah Pengubahan Wang Haram, hak asasi, pendidikan dan hinggalah ke isu akidah serta agama.
“Maka, ia bukan sahaja melibatkan polis, tetapi juga semua pihak yang bertanggungjawab terlibat.
“Usaha yang dilakukan oleh pihak polis adalah wajar, tetapi ia mesti dilakukan dengan cermat dan teliti. Ini agar ia tidak membawa persepsi negatif yang pelbagai, baik bagi polis, kerajaan mahupun awam,” katanya.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga sudah memulakan semakan terhadap pematuhan perniagaan GISBH.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata Bahagian Pematuhan SSM sudah melaksanakan semakan dan akan membuka kertas siasatan.
Pada 22 September lalu, puluhan buku berkaitan pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad atau Abuya ditemui ditanam di tepi sungai berdekatan kediaman pengikut GISBH ketika serbuan polis di Kampung Panji, Kota Bharu. – WILAYAHKU