POLIS Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan lanjut menerusi Op Global di rumah amal dikaitkan dengan GISBH.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan diteruskan biarpun beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan dituduh di mahkamah hari ini.
Menurut beliau, pihaknya juga masih melengkapkan siasatan lain termasuk beberapa video yang tular menunjukkan penderaan dialami kanak-kanak di rumah amal berkenaan.
“Siasatan lanjut giat dijalankan pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini seorang anggota GISBH didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya terhadap pertuduhan menggugut seorang wanita yang juga bekas ahli organisasi itu supaya menarik balik laporan polis terhadapnya pada 9 September lalu.
Mohamad Rizar Makar, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Ahmad Afiq Hasan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berniaga sendiri didakwa telah menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita di tempat letak kenderaan Galeria, Presint 4 Putrajaya pada 10 malam 9 September lalu.
Terdahulu media melaporkan sebanyak 740 rakaman percakapan telah direkodkan bagi siasatan membabitkan serbuan rumah amal GISBH.
Razarudin dilaporkan berkata, ia membabitkan 30 rakaman percakapan pengadu, saksi (216), mangsa (392) dan suspek (102). – Metra Syahril/WILAYAHKU