PIHAK yang kritikal terhadap tindakan polis dalam isu melibatkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dilihat dikaburi dengan organisasi itu yang dikatakan sebagai pertubuhan membantu orang susah lebih-lebih lagi berlandaskan agama.
Felo Majlis Profesor Negara dan Akademi Penyelidikan Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan berkata perkara itu ‘mengaburkan’ yang membuatkan mereka melihat tindakan polis ini dikatakan agak melampau.
Tetapi hakikatnya tegas beliau, seperti diakui pemimpin utama GISBH bahawa kejadian liwat ada berlaku, cuma satu dua kes sahaja.
“Jadi itu menunjukkan mentaliti kumpulan itu khususnya melibatkan kanak-kanak.
“Kita perlu melihat dari sudut penganiayaan, penderaan kanak-kanak sebab itu siasatan bukan sahaja dilakukan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) tetapi juga Akta Kanak-Kanak 2001.
“Walaupun perkara itu hanya satu dua sahaja, kita tak boleh biarkan dan kita tahu perkara ini menggunakan kanak-kanak sebagai tenaga pekerja sepatutnya tak boleh kita benarkan,” katanya kepada Wilayahku.
Azmi berkata sama ada organisasi itu sebuah organisasi berasaskan Islam atau organisasi yang banyak memberi bantuan kepada orang susah, ini tidak memberi dalil atau justifikasi untuk membenarkan penderaan kanak-kanak berlaku.
“Ini yang perlu diterapkan kerana pemikiran masyarakat, kumpulan yang memandang serong tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini bahawa kita tidak boleh tolak ansur bila datangnya kepada hak asasi kanak-kanak itu,” tambahnya lagi.
Dalam Op Global yang dijalankan pada 11 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.
Mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan. – WILAYAHKU