Berita

Isu FashionValet tidak jejas keinginan Khazanah labur dalam syarikat pemula, VC

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 14 November 2024 4:51 PM MYT

ISU yang terpalit terhadap FashionValet (FV) tidak akan menjejaskan keinginan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) untuk terus melabur dalam syarikat pemula.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, malah pelaburan modal teroka atau venture capital (VC) masih kekal dalam mandat Khazanah.

“Khazanah akan meneruskan usaha untuk menyokong ekosistem syarikat pemula dan modal teroka sambil menambah baik mekanisme kawalan.

“Khazanah telah menyediakan Dana Impak dengan tujuan melabur bagi meningkatkan daya saing ekonomi dan membina daya tahan negara, sambil menghasilkan manfaat dan impak sosioekonomi kepada rakyat, terutamanya untuk syarikat pemula dan modal teroka,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) iaitu adakah Khazanah tidak akan melabur dalam syarikat pemula memandangkan apa yang telah berlaku dengan pelaburan di FV.

Amir Hamzah berkata, antara inisiatif Khazanah untuk tujuan tersebut adalah dengan penubuhan Jelawang Capital sebagai sebuah nastional fund-of-funds dengan komitmen Rm1 bilion untuk memacu pertumbuhan ekosistem modal teroka Malaysia menerusi Dana Impak seperti dinyatakan dalam ucapan Belanjawan 2025.

Selain itu katanya, pelaksanaan program Emerging Fund Managers’ Programme (EM) dan Regional Fund Managers’ Initiative (RMI) yang akan dikelolakan di bawah Jelawang Capital

“Dalam konteks ini adalah wajar bagi Khazanah untuk terus melabur dalam ekosistem modal teroka selaras dengan mandat ekonomi MADANI bagi menyokong pembangunan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Mengenai soalan asal Syerleena terhadap faktor-faktor kegagalan FV, katanya, ketika Khazanah dan PNB menilai FV untuk potensi pelaburan pada 2017, syarikat itu telah menjadi sebuah platform fesyen e-dagang yang mempunyai lebih daripada 400 jenama dan 15,000 produk, dengan hasil perniagaan hampir RMR60 juta.

Katanya, ia juga merekodkan kadar pertumbuhan tahunan dari 2013 sebanyak lebih 100 peratus.

“Pelaburan oleh Khazanah dan PNB dalam FV dibuat setelah melalui proses penilaian terperinci dan ketekunan wajar (due diligence) oleh pihak masing-masing, dan dilaksanakan pada nilai pasaran yang mencerminkan trajektori pertumbuhan FV yang kukuh pada masa itu.

“Kegagalan FV boleh dikaitkan dengan faktor-faktor yang diluar jangkaan seperti implikasi COVID-19, perubahan trend platform fesyen e-dagang dan cabaran pengumpulan dana.

“Khazanah dan PNB mengakui bahawa hasil pelaburannya tidak selari dengan unjuran pulangan pelaburan dalam FV. Walau bagaimanapun, pihak Khazanah dan PNB akan terus menambah baik
mekanisme tadbir urus dan tatakelola masing-masing,” katanya.

Beliau menambah, memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes ini dan audit dalaman masih berjalan, Khazanah dan PNB perlu diberi ruang untuk proses siasatan ini diselesaikan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas